X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 29 Jun 2022

SPRM jawab isu Azam Baki pada Rabu ini

Abu Zahar Ujang
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk menjelaskan konflik berkaitan dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki dalam sidang media pada Rabu ini.

Menurut laporan The Vibes, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, beliau akan menjawab pertanyaan mengenai ketidakwajaran yang berkaitan dengan Azam dan kepentingan perniagaannya.

"Saya akan mengadakan sidang akhbar pada hari Rabu ini. Jadi, lebih baik anda datang supaya saya boleh memberitahu semuanya, bukan sahaja kepada anda, tetapi kepada semua orang yang mengambil berat perkara ini, Ok...," katanya ketika dihubungi, pada Isnin.

Abu Zahar bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perbalahan yang berlaku sambil mengulangi bahawa beliau hanya akan menjelaskannya semasa sesi bersama media.

“Ia akan diadakan pada petang Rabu. Anda datang dan kemudian anda boleh dengar,” katanya.

Abu Zahar juga tidak memperincikan jika beliau berhasrat bercakap kepada media bersama Azam dan Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah.

Difahamkan SPRM akan menganjurkan sidang media itu yang dipengerusikan oleh Azam dan Abu Zahar, pada Rabu.

Borhan pula dijangka menyertai mereka untuk menangani kebimbangan yang telah disiarkan.

Perkara ini susulan dakwaan bekas Ahli Panel SPRM, Edmund Terence Gomez mengenai suruhanjaya itu yang kononnya ingin menutup dakwaan salah laku Azam dan menuduh Abu Zahar serta Borhan tidak menyiasat isu itu secara telus.

Mengulas isu berkenaan, Abu Zahar mendakwa, Edmund Terence tidak pernah cuba menghubunginya atau pentadbiran berhubung masalah berkaitan dengan Azam dan menyatakan bahawa tuduhan itu telah mencemarkan integritinya.

Sementara itu, Borhan mendakwa, bahawa e-mel Edmund Terence tidak pernah menamakan Azam sebagai individu yang didakwa mempunyai kepentingan perniagaan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!