Wanita dalang kes samun diberkas

Kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas. Antara barang yang dirampas.
Kenderaan yang digunakan suspek turut dirampas. Antara barang yang dirampas.
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersama tiga lelaki di sebuah premis perniagaan di Damansara Damai di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hasil soal siasat mendapati, wanita itu yang pernah bekerja di premis berkenaan selama tiga bulan pada 2019 bertindak sebagai perancang.

"Wanita itu mengajak rakan sejenayahnya untuk melakukan samun di premis tersebut.

Kesemua suspek berusia antara 19 dan 30 tahun itu ditahan secara berasingan di Lembah Klang, pada Ahad," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Mohamad Fakhrudin berkata, dalam kejadian pada jam 10 malam itu, pihaknya menerima laporan daripada pembantu kedai warga Indonesia mendakwa tiga lelaki memasuki premis berkenaan dan mengacukan sebilah pisau serta memaksa mangsa menyerahkan wang.

"Mangsa kerugian RM19,000 serta sebuah telefon bimbit yang dilarikan oleh kumpulan penjenayah itu," katanya.

Beliau berkata, polis merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, pisau, lima buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua buah beg bimbit, serangkai kunci dan wang tunai RM7,000.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati salah seorang suspek mempunyai satu rekod berkaitan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohamad Fakhrudin, kesemua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 kanun keseksaan.