7,257 pegawai, anggota bomba siapsiaga hadapi banjir

Tangkap layar info grafik kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.
Tangkap layar info grafik kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi bencana banjir ketika ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 7,257 pegawai dan anggota bomba berada dalam keadaan kesiapsiagaan di enam negeri susulan hujan berpanjangan serta beberapa kawasan telah dinaiki air.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, jumlah tersebut merangkumi 3,706 pegawai bomba (PSM), 825 pegawai bomba bantuan (PBB) dan 2,726 pasukan bomba sukarela (PBS).

"Di Kelantan 1,012 anggota melibatkan 21 balai, Terengganu (964 anggota, 17 balai), Pahang (1,660 anggota, 26 balai), Melaka (442 anggota, 10 balai), Johor (1,889 anggota, 33 balai) dan Negeri Sembilan (669 anggota, 18 balai)," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Isnin.

.Menurutnya, persediaan sedang dipertingkatkan lagi dan mereka kini berada dalam kesiapsiagaan 24 jam manakala persiapan logistik pula melibatkan 203 kenderaan marin, 63 kenderaan angkut dan 173 kenderaan utiliti.

Beliau berkata, pemantauan berkala sentiasa dilakukan dan segala kemas kini laporan daripada pihak bomba akan kongsikan di media sosial.

"Kita akan tambah lagi aset dalam persediaan jika berlaku sebarang prospek dalam masa 24 jam ini.

"Sabah juga sedang mengalami banjir di beberapa kawasan. Malah ada rakan-rakan netizen berkongsi situasi di sana dan pastinya, pasukan bomba sentiasa ada untuk berkhidmat," katanya.

Artikel Berkaitan: