Waspada air pasang besar dijangka berlaku

Fenomena air pasang besar dijangka berlaku bermula hari ini hingga Rabu depan.
Fenomena air pasang besar dijangka berlaku bermula hari ini hingga Rabu depan.
A
A
A

SHAH ALAM - Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri pantai Barat Semenanjung Malaysia diminta agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku bermula Ahad hingga Rabu depan.

Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad memaklumkan, kejadian fenomena air pasang besar kali ini berskala lebih kecil berbanding November lalu.

“Bagaimanapun, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut serta banjir pantai.

“Kawasan-kawasan yang berisiko adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) serta Johor (Batu Pahat dan Pontian),” katanya.

Justeru, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit.

“Orang ramai juga diminta sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: