Penduduk Kuantan diminta siap sedia gelombang banjir kedua

Keadaan air di Perkampungan Sungai Isap susulan hujan lebat awal Ahad pagi.
Keadaan air di Perkampungan Sungai Isap susulan hujan lebat awal Ahad pagi.
A
A
A

KUANTAN - Penduduk di 10 kampung dan taman di daerah ini diminta bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan berlakunya gelombang banjir kedua susulan hujan lebat dan air pasang.

Menurut info banjir Kuantan, 10 kawasan yang dijangka terkesan dengan keadaan cuaca itu ialah, Tanah Putih; Cenderawasih, Sungai Isap, Permatang Badak, Bukit Rangin, penempatan berhampiran Sungai galing, perumahan sepanjang Sungai Belat dan sekitar Sungai Pahang serta Panching.

Notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan kepada penduduk di kawasan terbabit merujuk kepada ramalan cuaca membabitkan hujan lebat berterusan dan berlaku air pasang pada malam Ahad dengan ketinggian dianggarkan 3.5 meter.

"Jika hujan lebat berterusan khususnya di kawasan bandar Kuantan, Sri Damai, Gambang, Panching dan Sungai Lembing, potensi berlakunya pertembungan air Sungai Kuantan dengan air pasang adalah sangat tinggi.

"Justeru, kawasan-kawasan yang lazimnya akan terkesan adalah 10 penempatan terbabit," demikian menurut makluman itu.

Sehubungan itu, semua Agensi Penyelamat dikehendaki berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersiap sedia sepanjang tempoh 24 jam hingga 48 jam bermula pagi Ahad.

Lokasi yang dijangka berkemungkinan dinaiki air di bawah zon masing masing dan tahap respons masa di pusat pemindahan ditingkatkan pada sekurang-kurangnya 30 minit dari aduan diterima.

Bagi menjamin tindakan segera dan pantas, semua agensi disarankan untuk berada di pusat operasi yang telah ditentukan oleh agensi mengikut kesesuaian.

Artikel Berkaitan: