Arsenal lepaskan awal Aubameyang

Aubameyang dilepaskan awal The Gunners untuk menyertai Gabon. - Foto AFP
Aubameyang dilepaskan awal The Gunners untuk menyertai Gabon. - Foto AFP
A
A
A

PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dilepaskan awal The Gunners untuk menyertai Gabon bagi Piala Negara-Negara Afrika selepas disahkan tidak akan beraksi dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) Sabtu di Stadium Emirates menentang Manchester City, kata pengendali Mikel Arteta.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini tidak disenangi Arteta, dilucutkan jawatan kapten bulan lalu berikutan pelanggaran disiplin.

Kali terakhir dia bermain adalah ketika The Gunners tewas 2-1 kepada Everton di Goodison Park dalam perlawanan liga pada 6 Disember lalu, menyaksikan dia terlepas lima perlawanan dalam semua pertandingan.

Aubameyang menandatangani kontrak baru tiga tahun dengan Arsenal tahun lalu tetapi bergelut musim ini, hanya menjaringkan empat gol dalam saingan liga - yang terakhir pada Oktober.

Untuk rekod, para pemain yang terlibat di pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika dibenarkan bermain untuk kelab mereka sehingga 3 Januari, tetapi Arteta berkata, Gabon bertanya sama ada Aubameyang boleh menyertai lebih awal.

“Kami mempunyai surat daripada pasukan kebangsaan (Gabon) meminta kebenaran untuk mendapatkan pemain itu dan pemain itu tidak akan terlibat... jadi untuk kecergasannya dan untuk terus bersaing, ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

“Pada masa ini dia telah pergi (untuk AFCON). Dia perlu memberi tumpuan kepada pasukan kebangsaan. Kami telah berbincang, ia adalah cara terbaik untuk melakukannya. Kami akan menanganinya setiap perlawanan," kata Arteta.

Artikel Berkaitan: