Lelaki temui ajal ketika mahu selamatkan lembu

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut. Foto sumber Facebook
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut. Foto sumber Facebook
A
A
A

TAMPIN - Seorang lelaki menemui ajal ketika mahu menyelamatkan lembu peliharaannya dari bencana banjir dalam kejadian di Taman Pinggiran Felda di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, dalam kejadian jam 8 pagi, lelaki berusia 66 tahun itu dikatakan tergelincir semasa meredah air untuk ke kandang haiwan ternakan tersebut.

"Semasa kejadian, air naik di kawasan tersebut dan isteri mangsa yang melihat kejadian sempat menarik mangsa ke kawasan lebih selamat.

"Bagaimanapun mangsa tiba-tiba terkena serangan jantung dan beberapa minit kemudian meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang berada berhampiran tempat kejadian turut membantu cuba menyelamatkan mangsa tetapi lelaki berkenaan telah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu, Anuwal mengingatkan masyarakat supaya berwaspada dan penduduk yang tinggal di kawasan terjejas segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Artikel Berkaitan: