Individu hina PM perlu diambil tindakan

Abu Bakar
Abu Bakar
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang pemilik akaun Facebook mendakwa dirinya sebagai penganalisis politik paling kontroversi kerana mengeluarkan kenyataan jelik dan menghina Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, penghinaan yang dibuat pemilik akaun media sosial tersebut menerusi video berdurasi 41.07 minit yang dimuat naik semalam itu adalah keterlaluan apatah lagi melibatkan penggunaan kata-kata kesat.

"Bagi saya tindakan dia ini bukan contoh yang baik untuk rakyat. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi menghina pemimpin dengan kata-kata sedemikian adalah tidak kena budaya, adat serta peribadi kita sebagai seorang Muslim.

"Demokrasi itu memberi kebebasan kepada mana-mana pihak untuk bersuara, tetapi jangan salahgunakan kebebasan itu untuk memfitnah, memaki-hamun atau mencaci seseorang dengan kata-kata yang jelek," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berharap agar pihak berwajib termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memantau sebarang penyebaran media sosial yang menghina serta memfitnah apa sahaja berkaitan kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu serta perkara-perkara lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pemantauan itu katanya, termasuklah terhadap sebarang unsur-unsur provokasi yang boleh mengundang ketegangan serta menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Sepatutnya media sosial digunakan dengan berhemah serta bermanfaat untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum, bukannya memecahbelahkan di antara satu sama lain," ujarnya.

Semalam seorang pengguna Facebook memuat naik video live dengan tajuk yang menjelikkan ditujukan kepada Dr Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Video tersebut mendapat perkongsian lebih 200 pelayar dan rata-rata warganet mengecam lelaki berkenaan dan turut menyatakan Dr Mahathir tidak layak menjadi perdana menteri lagi kerana melindungi ‘perompak’.

Yusoff Minin antaranya berkata, sekiranya lelaki itu tidak menyukai PH, dia tidak seharusnya menggunakan kata-kata kasar ditujukan kepada pemimpin negara.

“Kalau pun benci sangat dengan seseorang lebih-lebih lagi seorang pemimpin, janganlah sampai menghina keterlaluan dengan menggelar babi, anjing dan pelbagai, kelak akan balik kepada diri sendiri,” tulisnya.

Muhammad Qhiriel pula berkata, tiada maanfaat untuk melihat video tersebut sambil mempersoalkan identiti lelaki berkenaan.

“Gilakah dia ni? Pakai serban mulut berbabi-babi..memalukan imej agama Islam. Stop follow, bazir data jer,” katanya.