'Saya sudah biasa kerja-kerja seperti itu' - Muhammad Sanusi

Muhammad Sanusi tidak kekok membantu mengangkat paip sepanjang dua meter di kampung orang asli di Paya Lebar, Hulu Langat. - Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah
Muhammad Sanusi tidak kekok membantu mengangkat paip sepanjang dua meter di kampung orang asli di Paya Lebar, Hulu Langat. - Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak kekok bergelumang dengan lumpur dan meredah hutan ketika turun padang bersama sukarelawan Kedah ketika misi bantuan banjir ke Selangor bermula 25 Disember hingga Isnin lalu.

Beliau turut dilihat cekap mengendalikan jengkaut ketika membantu mengangkut timbunan sampah banjir ke atas lori untuk dipindahkan ke tempat pelupusan.

Ketika ditanya keserasian beliau dalam kerja-kerja kemanusiaan, Muhammad Sanusi berkata, Kedah sudah beberapa kali berdepan situasi bencana seperti tsunami di Kuala Muda pada 2004, banjir besar 2010 serta kepala air Gunung Jerai.

“Pengalaman lalu memudahkan saya bantu pihak yang memerlukan. Tiada masalah untuk saya turun padang membantu mengikut kemampuan dan keupayaan saya.

“Lagipun saya orang kampung, sudah biasa dengan kerja-kerja seperti itu sejak kecil. Saya pandai bawa jengkaut sebab pernah bekerja di tapak pembinaan selepas tamat sekolah,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pas Kedah dan Pas Selangor bekerjasama melaksanakan misi pemasangan paip air di perkampungan orang asli di Paya Lebar, Hulu Langat.

“Seramai 100 anggota sukarelawan terlibat dalam kerja-kerja pemasangan paip ini terdiri daripada Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah, JAM Selangor, JAM Johor, ARC Selangor, Muslimat kawasan Selayang, Khidmat Malaysia Kedah serta penduduk tempatan kampung orang asli.

“Misi ini membawa 14 batang gelung paip, bermula jam 8.30 pagi dan berakhir sekitar 6.00 petang. Difahamkan, kemudahan ini akan memberi manfaat kepada 73 keluarga dengan anggaran 300 penduduk,”jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi (kanan) bertanya khabar mangsa banjir ketika meninjau kawasan Kampung Sungai Lui. - Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah
Muhammad Sanusi (kanan) bertanya khabar mangsa banjir ketika meninjau kawasan Kampung Sungai Lui. - Foto Facebook Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah

Menurutnya, Kedah membawa bersama tenaga sukarelawan yang membantu dalam proses membina bekalan air masyarakat ketika bencana kepala air di Yan untuk membantu mangsa banjir di kawasan Hulu Langat.

“Kampung mereka guna air paip masyarakat, punca airnya diambil dari atas bukit. Jadi disebabkan bencana banjir itu, paip rosak dan mereka terputus bekalan.

“Dengan pengalaman yang kita ada, kita bantu tukarkan paip serta mencucinya. Kita pastikan saluran air dapat kembali berfungsi seperti mana kami buat di Yan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, misi bantuan bencana terbabit turut disertai pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR), Syarikat Air Darul Aman (SADA), Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Pejabat Tanah serta pertubuhan bukan kerajaan(NGO) Khidmat Malaysia Kedah.

Beliau berkata, sebelum ini, kerajaan negeri Kedah telah mengumumkan sumbangan RM200,000 kepada kerajaan Selangor berikutan musibah banjir yang berlaku.

“Sumbangan tersebut diberikan sebagai tanda kebersamaan Kedah dengan seluruh mangsa banjir di Selangor. Mungkin dengan bencana yang besar itu, RM200,000 jumlah yang kecil namun diharap ia dapat membantu.

“Ini komitmen kita kepada Selangor, kita tahu ramai juga orang Kedah yang bekerja di sini,” ujarnya.

Tambanya lagi, seramai 500 sukarelawan Kedah turut membantu dalam Misi Khidmat Malaysia yang ditempatkan di daerah Kajang dan ditugaskan di Batu 18, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

“Syabas kepada semua sukarelawan yang terlibat dan pergi atas biaya sendiri. Sebelum ini seluruh rakyat dari seluruh negeri datang bantu kita di Yan, kali ini giliran kita pula bantu mereka. Inilah budaya yang perlu kita kekalkan untuk kita bersedia membantu sesama kita,” katanya.

Muhammad Sanusi memaklumkan, Kedah satu-satunya negeri yang menghantar sukarelawan serta aset-aset kerajaan negeri disertai kaki tangan agensi kerajaan.

“Antara bantuan disalurkan melibatkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) Kedah yang menghantar petugas dan aset membantu PBT di Selangor.

“LZNK menghantar empat treler membawa beras ke Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pahang selain sebuah klinik bergerak ditempatkan di Selangor, yang mana petugas perubatan diuruskan oleh pejabat Menteri Besar Selangor.

“Pas kawasan Merbok pula membawa petugas memasak berserta lori memuatkan bahan mentah dan peralatan memasak. Manakala SADA menyumbang RM30,000 membeli peralatan pembersihan dan mencuci serta 'tank poly' dan pam air,” katanya.