Hasilkan baja, makanan haiwan dari sisa makanan

Nor Hisham (tiga, dari kiri) mendengar penerangan Paul (dua, dari kiri) cara pengolahan sisa organik kepada penghasilan larva dikeringkan menjadi makanan haiwan.
Nor Hisham (tiga, dari kiri) mendengar penerangan Paul (dua, dari kiri) cara pengolahan sisa organik kepada penghasilan larva dikeringkan menjadi makanan haiwan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan Betsol Sendirian Berhad menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pengolahan sisa organik dari Pasar Borong Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Bandar DBKL, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, sisa sayur-sayuran dan buah-buahan di pasar tersebut akan dikumpulkan bagi penghasilan baja organik dan produk makanan haiwan menggunakan spesies lalat askar hitam (BSF).

Menurutnya, sebagai langkah permulaan sebanyak 10 tan sisa sampah (sayur, buah) dari pemborong akan dikutip sehari sebelum diproses syarikat yang akan menanggung kos tersebut.

"Ia selari dengan hasrat pengurangan kos pengurusan dan kuantiti sampah serta meningkatkan kesedaran alam sekitar secara meluas khususnya dalam Kuala Lumpur.

"Program dijangka dimulakan di Pasar Borong Selayang bermula April ini dan bakal diperluaskan kepada pasar-pasar lain jika pelaksanaan projek perintis itu mencapai objektifnya," katanya.

Katanya, projek tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pemborong Sayur-Sayuran Kuala Lumpur dan Persatuan Pemborong Buah-Buahan Kuala Lumpur yang dipertanggungjawab untuk memastikan peniaga patuh dengan arahan pengasingan sisa buangan untuk pengkomposan.

Nor Hisham (dua, kiri) bersalam dengan wakil persatuan pemborong yang akan membantu projek pengolahan sisa organik.
Nor Hisham (dua, kiri) bersalam dengan wakil persatuan pemborong yang akan membantu projek pengolahan sisa organik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi Betsol Sdn Bhd, Paul Lim menjelaskan, usahasama itu adalah langkah penyelesaian pengurusan pembuangan sisa makanan yang merupakan penyumbang 60 peratus daripada sampah harian.

"Langkah pengkomposan ini adalah pengendalian mesra alam, murah dan cepat berbanding pelupusan sampah di Bukit Tagar mahupun kaedah insinerator.

"Pengolahan sisa organik menggunakan BSF ini cepat dan dalam tempoh lapan hari boleh menghasilkan makanan haiwan atau di proses menjadi baja," katanya.

Katanya, syarikatnya yang baru beroperasi kurang setahun memerlukan sisa pengolahan yang berpanjangan bagi membolehkan produk dihasilkan secara optimum.

"DBKL adalah pihak berkuasa tempatan pertama yang menjalin kerjasama ke arah tersebut dan dalam usaha untuk menyebarkan program sama di negeri-negeri lain bagi tujuan kesedaran dan komersil.

"Besar harapan saya supaya langkah penyuraian sisa menggunakan kaedah mesra alam ini mempu dijadikan produk industri untuk keperluan tempatan dan luar satu hari nanti," katanya.