Banjir: 2,384 ketua isi rumah di NS terima BWI

Salah seorang mangsa banjir bermain dengan anaknya sebelum memulakan semula kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumahnya yang terkesan akibat dilanda banjir baru-baru ini di Kampung Puom, pada Jumaat. - Foto Bernama
Salah seorang mangsa banjir bermain dengan anaknya sebelum memulakan semula kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan rumahnya yang terkesan akibat dilanda banjir baru-baru ini di Kampung Puom, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 2,384 Ketua Isi Rumah (KIR) di Negeri Sembilan yang terkesan banjir menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan anggaran keseluruhan RM4.4 juta yang diagihkan bermula 29 Disember hingga Jumaat.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Sembilan Mejar (PA), Shamil Ithman berkata, jumlah KIR itu diperoleh daripada rekod mangsa banjir sejak 18 Disember lepas hingga kini melibatkan penduduk di empat daerah iaitu Jelebu sebanyak 1,013 KIR, Port Dickson (794), Seremban (336) dan Rembau (241).

“Semua rekod ini diperoleh daripada KIR berdaftar di pusat penempatan sementara (PPS) dengan senarai nama disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, manakala yang tidak berdaftar di PPS diberikan oleh penghulu atau ketua komuniti.

“Bagaimanapun, jumlah KIR tersebut dijangka bertambah berdasarkan data lengkap yang diterima APM nanti, tiada tempoh tertentu untuk agihan kerana kami masih lagi mengumpul maklumat mereka yang terkesan,” katanya kepada Bernama di sini, pada Jumaat.

Shamil berkata, proses agihan BWI kepada penerima itu turut mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Negeri Sembilan. - Bernama

Artikel Berkaitan: