Persepsi negatif rakyat bakal undang rombakan kabinet

Barisan Kabinet
Barisan Kabinet
A
A
A

SHAH ALAM - Prestasi segelintir ahli-ahli politik dalam mengendalikan bencana banjir besar baru-baru ini telah mengundang persepsi negatif rakyat terhadap kelemahan dalam barisan kabinet pimpinan kerajaan.

Malahan, terdapat beberapa ahli kabinet didapati berada di luar negara untuk bercuti dalam keadaan rakyat berdepan dengan musibah itu.

Susulan itu, pada 24 Disember, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan menteri yang sedang bercuti membatalkan cuti masing-masing dan menumpukan kepada bencana banjir yang sedang melanda negara.

Namun begitu, isu tersebut sudah pastinya bakal menjadi salah satu faktor kepada rakyat dalam membuat pilihan di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, khabar angin mengenai rombakan kabinet yang akan dilakukan dalam masa terdekat mula kedengaran apabila sebuah laporan portal berita pada Khamis memaklumkan Perdana Menteri bakal mengumumkan rombakan kabinet pertamanya sejak memegang jawatan utama itu pada Ogos lalu.

Jika perkara tersebut benar, berkemungkinan isu banjir merupakan salah satu penyebabnya.

Dijangka rombakan tersebut dilakukan mungkin untuk menapis menteri-menteri yang tidak efisyen serta lambat melakukan tugas yang melibatkan kepentingan rakyat.

Desas desus mengenai perkara berkenaan dijangka akan menjadi tumpuan pada hari ini meskipun beberapa menteri tidak mengakui hal tersebut.

Artikel Berkaitan:

Antaranya adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim yang mana telah mengesahkan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai laporan yang mendakwa Ismail Sabri akan membuat rombakan kabinet.

Menurut Ahli Parlimen Arau itu, isu mengenai rombakan Jemaah Menteri tersebut tidak pernah dibangkitkan atau dibincang buat masa ini.

Selain itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut tidak berada di bawah pengetahuannya.

Bagaimanapun, beliau yakin dalam apa juga perkara, Perdana Menteri akan mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam kerajaan.

Di samping itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid turut berkata, beliau tidak maklum mengenai rombakan kabinet.

Katanya, apa-apa keputusan yang dibuat, ia terserah kepada Perdana Menteri.

Apa yang pasti, isu rombakan kabinet itu bakal menjadi antara topik utama dalam berita politik semasa negara ini dan tentunya menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat.