Ketengah sumbang RM83,400 untuk pelajar cemerlang SPM, STPM

Razali (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM pada Khamis.
Razali (kanan) ketika menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang SPM dan STPM pada Khamis.
A
A
A

DUNGUN - Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyediakan peruntukan sebanyak RM83,400 bagi menghargai 103 pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 2020.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, peruntukan itu melibatkan sekolah di tiga daerah iaitu Dungun, Kemaman dan Hulu Terengganu.

"Ketengah memperuntukkan sebanyak RM44,000 bagi 54 pelajar cemerlang dalam SPM manakala RM39,400 bagi 49 pelajar cemerlang STPM.

"Pelajar-pelajar ini wajar diberi penghargaan bagi membantu meringankan bebanan keluarga seterusnya memastikan pendidikan mereka ke peringkat lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Razali berkata, Ketengah turut menyalurkan RM1.03 juta bagi keperluan 998 mangsa banjir serta mereka yang terkesan akibat Covid-19.

"Bantuan ini merangkumi kit bantuan bencana, bantuan pembaikan rumah, bantuan input pertanian dan bantuan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

"Seramai 37 sukarelawan terdiri dalam kalangan kakitangan Ketengah bersama kelengkapan logistik digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir," katanya.

Artikel Berkaitan: