'Jangan curi, perlu wang jumpa saya boleh bantu'

Azmizam menunjukkan siling yang menjadi laluan penjenayah memecah masuk pejabatnya di sini.
Azmizam menunjukkan siling yang menjadi laluan penjenayah memecah masuk pejabatnya di sini.
A
A
A

KLANG - 'Kalau betul tak ada wang, datang baik-baik jumpa saya, saya boleh bantu'.

Demikian reaksi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkaitan kejadian pecah masuk melibatkan pejabatnya di Pandamaran pada Isnin lalu.

Azmizam berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 10 pagi ketika beberapa petugas pejabat pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang mahu membuka pusat berkenaan.

"Saya yang datang tak lama selepas itu mendapati siling pejabat terbuka, saya percaya ia menjadi laluan penjenayah untuk memecah masuk.

"Selain itu, habis fail serta barangan di pejabat saya ini berselerak dan diselongkar," katanya ketika ditemui di pejabat pusat khidmat DUN Pelabuhan Klang di sini pada Khamis.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi pada Isnin dan beliau mengesyaki penjenayah yang memecah masuk itu ingin mencuri wang.

"Beberapa sampul kosong yang ada didapati telah dibuka satu persatu, selain itu barangan serta peralatan pejabat lain seperti komputer dan sebagainya tidak dicuri.

"Mungkin penjenayah ni datang nak curi duit, kalau tak memang habis dah peralatan dan barangan lain diambilnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, selain pejabatnya, sebuah klinik dan kedai aluminium berdekatan juga dipecah masuk tetapi tiada barang dilaporkan hilang.

"Dalam keadaan sekarang ni semua terdesak, saya memahami, namun bukan dengan cara sebegini, saya tidak mahu tuduh sesiapa.

"Kalau benar-benar perlukan bantuan boleh terus bertemu saya, mana yang boleh saya bantu, saya akan bantu," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.