Rakyat perlu ambil iktibar peristiwa 2021: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin
Tuanku Syed Faizuddin
A
A
A

KANGAR - Peristiwa yang terjadi pada 2021 seperti banjir merupakan satu tragedi dalam sejarah geobencana di Malaysia yang wajar dijadikan amaran dan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

Hal itu perlu diambil sebagai iktibar untuk dijadikan pengalaman dalam menempuh 2022 yang bakal tiba, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, 2021 memberikan pengalaman dan menjadi sumber pembakar semangat, selain pedoman positif untuk bersama-sama maju dalam pelbagai perkara pada 2022.

“Tinggalkan perkara yang negatif dan kenangkan kembali setiap kejayaan dan pencapaian cemerlang yang diperoleh sama ada oleh diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi mahupun negara, sebagai panduan pada masa hadapan,” titah baginda.

Baginda yang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPS) bertitah demikian selepas berkenan berangkat menerima zakat perniagaan daripada QSR Brands (M) Holdings Bhd untuk tahun 2021 berjumlah RM50,965.

Zakat tersebut dipersembahkan oleh Pemangku Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal syarikat itu, Hayazi Darus pada majlis itu yang berlangsung di Bangunan MAIPs di sini pada Khamis yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelbagai peristiwa seperti penularan Covid-19 dan banjir besar, menjadikan rakyat lebih cekal dan mendidik rakyat supaya dapat memberikan lebih perhatian terhadap pelbagai aspek termasuk kesedaran mengenai kesihatan serta mula peka dengan tahap kesihatan diri dan keluarga.

“Kita sedar kehidupan ini sentiasa menjanjikan cabaran dan perlu berusaha bangkit memajukan diri. Segala yang dimiliki hari ini tidak kekal termasuklah harta benda dan perniagaan yang bila-bila masa sahaja boleh terjejas akibat penularan penyakit, bencana dan sebagainya,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Baginda turut berterima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesejahteraan baginda seisi keluarga dan mempersembahkan ucapan Hari Ulang Tahun Keputeraan kepada baginda pada Khamis, menerusi pelbagai medium. - Bernama