MAFI peruntuk RM100 juta bawah Dana Bangkit Semula Keluarga Agro

Dr Ronald (tiga kiri) ketika melawat Projek Perikanan dan Veterinar di Kampung Chennah dan Kampung Esok, Jelebu pada Khamis.
Dr Ronald (tiga kiri) ketika melawat Projek Perikanan dan Veterinar di Kampung Chennah dan Kampung Esok, Jelebu pada Khamis.
A
A
A

JELEBU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperkenalkan dana sebanyak RM100 juta di bawah Dana Bangkit Semula Keluarga Agro bagi membantu meringankan bebanan kumpulan sasar yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, MAFI mengambil langkah proaktif dengan mengasingkan 30 peratus daripada peruntukan beberapa program dan inisiatif pada tahun hadapan untuk membantu pengusaha-pengusaha dalam sektor agromakanan yang terjejas akibat banjir.

“Jumlah keseluruhan yang diasingkan di bawah beberapa program dan inisiatif ini adalah sebanyak RM100 juta di mana kita akan memberi keutamaan kepada pengusaha dan golongan sasar merentasi semua subsektor agromakanan yang terjejas.

“Antara program-program di bawah dana ini merangkumi Geran Agropreneur Muda, Geran Agropelancongan, Tabung Bencana Agromakanan, Dana Pembiayaan Mudah (Soft Loan) di bawah Agrobank, Geran Pemadanan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Inisiatif MAFI Prihatin Perniagaan, Program Subsidi Baja Pertanian dan Program Ladang Kontrak dan Program Rezeki Tani," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat Projek Perikanan dan Veterinar di Kampung Chennah dan Kampung Esok di sini yang terjejas akibat bencana banjir, pada Khamis.

Hadir sama Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.

Katanya, langkah proaktif itu adalah sebagai pemangkin kepada pemulihan perniagaan golongan sasar sektor agromakanan sekali gus menjamin kelangsungan perusahaan masing-masing yang telah terjejas dan memperkukuh rantaian nilai agromakanan di setiap peringkat.

Dalam pada itu, Dr Ronald berkata, sektor agromakanan juga akan mendapat manfaat daripada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bernilai RM1.4 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri di mana pihak MAFI akan menyelaras data-data kerugian bagi memastikan mangsa-mangsa banjir di bawah sektor ini mendapat bantuan yang sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhannya berdasarkan kepada laporan yang kita terima setakat ini, jumlah keseluruhan anggaran kerugian melebihi RM63 juta melibatkan lebih 4,700 pengusaha untuk semua subsektor agromakanan termasuk perikanan, akuakultur, penternakan, tanaman dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau, MAFI masih dalam proses mendapatkan data-data kerosakan dan kerugian melalui pelbagai jabatan dan agensi di mana jumlah kerugian ini dijangka akan meningkat.

“Jabatan dan Agensi di bawah MAFI akan memastikan semua perusahaan dan perniagaan yang terjejas akan dibangunkan semula dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara yang menjadi keutamaan MAFI,” katanya.

Tambahnya, MAFI akan terus mengambil segala tindakan dan usaha bagi memastikan kepentingan kumpulan sasar sektor agromakanan serta sekuriti makanan bagi Keluarga Malaysia secara keseluruhannya terus terjamin.