Kedah teliti cadangan bina lebuh raya baharu

Mukhriz (empat, kanan) bersama tetamu kenamaan yang hadir program pelancaran kempen.
Mukhriz (empat, kanan) bersama tetamu kenamaan yang hadir program pelancaran kempen.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan meneliti cadangan dikemukakan pihak swasta yang berminat membangunkan lebuh raya baharu menghubungkan Selatan Perak hingga Kulim di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya menerima sekurang-kurangnya tujuh kertas cadangan daripada pihak swasta berkaitan pembinaan lebuh raya baharu itu.

Menurutnya, bagaimanapun keputusan pemilihan jajaran lebuh raya itu akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri terlebih dahulu, sebelum pihak swasta boleh mengemukakan cadangan lain.

“Sekarang sudah ada Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) namun kita dapati berlaku kesesakan jalan raya dari Perak ke Kedah terutama berdekatan Juru, Pulau Pinang. Jadi kita akan putuskan jajaran mana paling sesuai dengan ambil kira pelbagai aspek antaranya, pembinaan kawasan perumahan, lapangan terbang dan perindustrian,” katanya, selepas melancarkan kempen pembayaran hasil melalui kad MyDebit, di Pejabat Tanah dan Galian Kedah.

Mukhriz berkata, pihaknya yakin pembinaan lebuh raya itu akan membantu merancakkan lagi ekonomi setempat penduduk kelak, terutama kawasan pedalaman seperti Kulim, Sik dan Baling.

“Kita ada sebab kenapa mahu bina lebuh raya ini. Pelabur di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) pasti ada nilai tambah dengan adanya lebuh raya ini, malah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) juga akan dibina tidak jauh dari KHTP,” katanya.

Menurutnya, pembinaan lebuh raya itu juga kelak dapat memberi impak besar kepada pembangunan sekitar tiga daerah terlibat.

“Jika ke atas lagi, kita boleh sampai hingga ke Baling dan Sik, bayangkan kalau pusat pembangunan sedia ada disambungkan dengan lebuh raya baharu ini, macam-macam program dapat dilaksanakan bagi rancakkan ekonomi setempat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Mac lalu, Mukhriz mengumumkan kerajaan negeri mencadangkan pembinaan sebuah lebuh raya baharu bagi menghubungkan negeri ini dan Perak, tanpa melalui Pulau Pinang dan dijangka bakal memberi impak besar kepada sosioekonomi penduduk sekitar.