Pencemaran kimia: Majikan dinasihat ambil langkah kawalan risiko

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majikan di sekitar kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor dinasihatkan agar mengambil langkah bagi mengawal risiko yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan pekerja mereka susulan pencemaran bahan kimia berbeza di sungai berkenaan.

Dalam kenyataannya hari ini, Kementerian Sumber Manusia berkata pekerja juga berhak menjauhi bahaya atau aktiviti kerja tersebut sekiranya majikan gagal mengambil tindakan kawalan selepas dimaklumkan, seperti yang termaktub dalam Konvensyen 155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Antara langkah kawalan minimum yang boleh dilakukan ialah menggunakan peralatan perlindungan diri seperti alat perlindungan pernafasan, demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, pemantauan Jabatan Keselamatan dan Pekerjaan di kawasan terjejas mengesan beberapa bahan kimia berbahaya yang boleh membawa risiko kepada pekerja antaranya hidrogen klorida yang boleh menyebabkan sesak nafas; akrilonitril yang boleh merengsa hidung, kulit dan salur pernafasan serta aldrich toluene yang memberi kesan kepada sistem saraf pusat.

Kejadian pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim yang bermula pada 7 Mac lalu sehingga malam tadi telah menyebabkan 947 orang awam dirawat di hospital sementara 111 buah sekolah dalam kawasan Pasir Gudang ditutup serta-merta bagi mengelakkan lebih ramai pelajar terjejas. - Bernama

Artikel Berkaitan: