1,632 tangkapan dibuat libat kes judi di Perak

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

TAIPING - Sebanyak 1,557 serbuan membabitkan 1,632 tangkapan dilakukan Polis Perak menerusi operasi membanteras aktiviti perjudian di seluruh negeri sejak awal tahun ini sehingga Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, hasil serbuan yang dijalankan terhadap kegiatan judi ekor haram dan judi dalam talian itu turut merampas 344 peranti elektronik serta wang tunai berjumlah RM269,735.

Menurutnya, statistik itu membuktikan operasi membanteras kegiatan perjudian haram dipergiatkan tahun ini berbanding tahun lalu.

"Tahun lalu, kita melakukan 921 serbuan membabitkan 1,086 tangkapan bagi judi dalam talian dan judi ekor haram.

"Selain itu, polis turut merampas 41 peranti elektronik dan wang tunai berjumlah RM244,857 bagi tempoh sama tahun lalu," katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall di sini pada Rabu.

Mior Faridalathrash berkata, sebanyak 759 kes telah dituduh di mahkamah.

Mior Faridalathrash (kanan) bertemu dengan peniaga di Plaza Perbandaran pada program Outreach di Taiping.
Mior Faridalathrash (kanan) bertemu dengan peniaga di Plaza Perbandaran pada program Outreach di Taiping.

"Tindakan pemotongan bekalan elektrik diambil terhadap 71 premis di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan satu kes diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sindiket perjudian dikesan menukar operasi mereka termasuk nombor telefon namun itu bukan penghalang untuk polis membanteras kegiatan itu.

"Modus operandi operator sindiket perjudian sentiasa berubah-ubah, jika dahulu mereka sewa premis tetapi kini semua dijalankan dalam talian termasuk pertaruhan dan pembayaran.

"Itu antara cabaran yang dihadapi pakar judi tetapi kita tidak pernah berhenti malah lebih agresif untuk terus membanteras kegiatan ini di seluruh negeri," katanya.

Tegasnya, kesemua Ketua Polis Daerah digesa memperhebatkan operasi membanteras kegiatan perjudian di kawasan masing-masing.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata, Polis Perak merekodkan kutipan kompaun hampir RM17 juta sempena tawaran diskaun saman trafik yang bermula 1 Disember lepas.

"Tawaran diskaun 50 peratus yang dilaksanakan Polis Perak sejak 1 Disember hingga 8 Disember lalu berjaya mengutip RM1.89 juta.

"Bagi tawaran diskaun 80 peratus yang bermula 9 Disember lalu berjaya mengutip sebanyak RM15 juta.

"Jumlah keseluruhan sehingga Selasa ialah RM16.9 juta," katanya.