Polis lengkapkan siasatan rogol, samun dua beradik

Mior Faridalathrash
Mior Faridalathrash
A
A
A

TAIPING - Polis sedang melengkapkan siasatan kes rogol dan samun dua beradik perempuan di sebuah kawasan belukar di Jalan Kampung Paya Nibong, Ayer Tawar di Manjung minggu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, rakaman percakapan mangsa berusia 20 dan 37 tahun bersama tiga saksi lain sudah diambil bagi membantu siasatan.

Menurutnya, selain mangsa, seorang pengawal keselamatan, teman lelaki kepada salah seorang mangsa dan bapa mereka dipanggil bagi membantu siasatan.

"Kita juga telah merampas dua beg tangan yang mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kunci motosikal dan barang mekap," katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan bersama Ketua Polis Perak di Taiping Mall di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa dan suspek tidak mengenali antara satu sama lain.

"Suspek yang juga penjawat awam berusia 21 tahun masih ditahan reman sehingga Sabtu ini.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan kedua-dua mangsa ditahan suspek ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah kira-kira jam 12.05 tengah malam pada 21 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang bersenjatakan pisau bertindak mengugut untuk membunuh sebelum merogol mangsa.

Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bertugas di Kota Samarahan, Sarawak sedang bercuti dan berada di daerah Manjung ketika kejadian.