JKM belanja RM35 juta bantu mangsa banjir: Zailah

Penduduk kampung, Roslin Pahing, 52, melakukan kerja-kerja pembersihan selepas rumah pusakanya dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Labohan Dagang Kuala Langat, Banting.- Foto Bernama
Penduduk kampung, Roslin Pahing, 52, melakukan kerja-kerja pembersihan selepas rumah pusakanya dilanda banjir ketika tinjauan di Kampung Labohan Dagang Kuala Langat, Banting.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah membelanjakan RM35 juta bagi tujuan penyediaan barangan keperluan untuk mangsa banjir yang terjejas di lapan negeri yang dilanda musibah itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, perbelanjaan melibatkan tikar/pelapik lantai, selimut, tuala mandi, kain pelikat dan kain batik, kit kebersihan diri dan lain-lain keperluan.

"Manakala bagi khemah boleh lipat (C-tent), lebih 31,921 unit telah digunakan bagi memberi ruang keselesaan kepada keluarga yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"JKM juga turut menyediakan makanan bermasak di setiap PPS mengikut bilangan mangsa termasuk petugas sepanjang tempoh mangsa berada di PPS, sebanyak lapan buah depoh Utama JKM, 521 Pengkalan Hadapan dan 165 Depoh Mini JKM," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, JKM setakat ini telah menempatkan seramai 114,280 mangsa banjir di 771 PPS yang telah dibuka di seluruh negara yang melibatkan 31,921 keluarga.

Siti Zailah berkata, agensi itu juga telah menggerakkan lebih 3,000 Pegawai JKM yang bertugas bagi memastikan penempatan dan kebajikan mangsa banjir berada dalam keadaan terurus serta makan minum mencukupi.

"Seramai 135 pegawai JKM yang bertugas juga turut menjadi mangsa bencana banjir," katanya.

Menurutnya, JKM dengan kerjasama strategik Khidmat Malaysia dan Majlis Belia Negara telah menghantar lebih 10,000 sukarelawan ke negeri terjejas.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, JKM juga telah berjaya mewujud dan menyelaras penyediaan dapur rakyat di setiap lokasi bencana banjir yang memanfaatkan lebih 16,000 mangsa banjir.

Beliau berkata, JKM turut membantu mengumpul dan mengatur gerakan sukarelawan yang berminat untuk membantu dalam kerja-kerja pasca banjir seperti pembersihan rumah, surau, masjid dan lain-lain.

Katanya, setiap kumpulan sukarelawan atau NGO boleh menghubungi terus Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi mendapatkan lokasi yang bersesuaian, kehadiran secara berkumpulan adalah diutamakan. - Bernama