NS peruntuk RM1.5 juta takaful khairat kematian

Aminuddin (kiri) menyerahkan sijil khairat kematian kepada ADUN Kuala Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu. - Foto FB MBNS
Aminuddin (kiri) menyerahkan sijil khairat kematian kepada ADUN Kuala Pilah, Mohamad Nazaruddin Sabtu. - Foto FB MBNS
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta menerusi pelan Takaful Khairat Kematian membabitkan caruman kepada anggaran 34,562 orang ketua isi rumah di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, jumlah pencarum itu adalah berdasarkan senarai e-Kasih Negeri Sembilan mulai 1 Ogos lalu untuk tempoh perlindungan selama 12 bulan.

"Inisiatif di bawah Belanjawan Negeri Sembilan 2021 ini adalah sebagai tanda simpati dan menzahirkan rasa prihatin dalam membantu meringankan beban waris.

"Pelan Takaful Khairat Kematian ini terbuka kepada rakyat yang layak tanpa mengira agama dan kaum," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau selain itu berkata, caruman akan dibuat secara berfasa dan turut memberi perlindungan tambahan kepada isteri dan dua orang anak berumur 18 tahun ke bawah.

"Caruman ini membolehkan waris menerima bantuan kecemasan berjumlah RM2,000 selepas kematian individu yang dinamakan, manakala kematian akibat kemalangan akan menerima bantuan berjumlah RM 8,000.

"Penyerahan Fasa 1 pada Selasa ialah 10,777 orang melibatkan 7,552 orang Islam dan 3,225 yang bukan Islam. Inisiatif ini dilaksanakan di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) serta Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam (HEBI)," jelas beliau.

Tambah Aminuddin, sijil khairat tersebut telah diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan masing-masing untuk disampaikan kepada penerima.

Artikel Berkaitan: