38 terbunuh dalam runtuhan lombong emas di selatan Sudan

Lombong emas berkenaan terletak berhampiran bandar El Nuhud di Kordofan Barat, kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Sudan, Khartoum. - Foto Getty
Lombong emas berkenaan terletak berhampiran bandar El Nuhud di Kordofan Barat, kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Sudan, Khartoum. - Foto Getty
A
A
A

KHARTOUM - Sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh dalam kejadian runtuhan lombong emas di Kordofan Barat, selatan Sudan, menurut satu kenyataan dikeluarkan oleh sebuah syarikat perlombongan milik kerajaan pada Selasa, lapor Xinhua.

"Pengurus Besar Sudanese Mineral Resources Company Limited melaporkan kejadian 38 pelombong maut dalam runtuhan lombong Umm Draisaya," kata kenyataan itu.

Lombong emas berkenaan terletak berhampiran bandar El Nuhud di Kordofan Barat, kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Sudan, Khartoum.

Menurut syarikat itu, kerajaan negeri dan jawatankuasa keselamatan negeri sebelum ini memutuskan untuk menutup lombong berkenaan dengan alasan tidak sesuai untuk aktiviti perlombongan.

Bagaimanapun, katanya, pelombong masih bekerja di lombong itu walaupun keputusan telah dibuat.

Kira-kira dua juta rakyat Sudan bekerja dalam industri perlombongan tradisional termasuk di Laut Merah, Nahr al-Neel, Kordofan Selatan, Kordofan Barat dan Utara.

Menurut statistik rasmi, perlombongan tradisional menyumbang kira-kira 75 peratus daripada jumlah pengeluaran emas di Sudan, dengan melebihi 93 tan setahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: