Tanah runtuh berhampiran UIAM pertama kali berlaku

Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki UIAM di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan. - Foto Bernama
Kira-kira 128 penghuni asrama lelaki UIAM di Gombak diarah mengosongkan bangunan asrama itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran dengan bangunan berkenaan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kejadian tanah runtuh di kawasan asrama lelaki Mahallah Zubair, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di sini merupakan yang pertama berlaku sejak penubuhannya pada tahun 1983 susulan hujan lebat pada 6 petang Ahad.

Pegawai Perhubungan Awam UIAM, Roslan Rusly berkata, pihaknya mengambil tindakan proaktif sejurus menyedari kejadian yang berlaku di Blok C Mahallah Zubair itu dengan menempatkan seramai 128 pelajar di kediaman lain atas faktor keselamatan.

Beliau berkata, ketika kejadian, pihaknya turun ke lokasi dan memindahkan kesemua penuntut ke blok yang kosong kerana struktur bangunan terjejas dikhuatiri tidak selamat.

"Semalam pihak bomba datang dan membuat penilaian awal struktur bangunan. Selain bomba, Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Kerja Raya dan Unit Pembangunan UIAM turut memantau perkembangan semasa bangunan itu," katanya kepada Bernama pada Isnin.

Mahasiswa jurusan seni bina landskap, Faris Syahmi A Rahman, 20, berkata, beliau tidak menyangka akan berlaku insiden tanah runtuh di blok berhampiran.

Mahasiswa jurusan kejuruteraan komputer Azrin Saedi, 28, pula berkata, semasa kejadian, beliau tidak mendengar sebarang bunyi tanah runtuh berhampiran blok asramanya.

"Semalam hujan lebat pada 6 petang dan saya hanya mengetahui kejadian itu menerusi WhatsApp yang dikongsikan rakan asrama.

"Bagaimanapun, pihak pengurusan UIAM telah menutup kawasan tanah runtuh dengan kain kanvas dan tidak membenarkan mana-mana pihak memasuki kawasan itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati saliran air dan kawasan sekitar tempat parkir di asrama terlibat dipenuhi kesan lumpur susulan hakisan tanah yang berlaku.

Pada Ahad, Bernama melaporkan kira-kira 128 penghuni asrama lelaki UIAM di Gombak diarah mengosongkan premis itu selepas satu kejadian mendapan jalan serta tanah runtuh dikesan berhampiran bangunan tersebut.

Kejadian itu dikesan pada 6.45 petang berikutan aduan pelajar di kawasan terbabit dan tinjauan mendapati keluasan mendapan jalan adalah kira-kira lima meter persegi melibatkan kedalaman kira-kira tiga meter. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 128 pelajar UIAM diarah kosong bangunan asrama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!