KKMM lancar program bantu sampai selesai bersihkan rumah

Annuar (kiri) ketika turun padang agihkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada masyarakat Orang Asli Suku Temuan dari Kampung Orang Asli Tadom, Paya Rumput dan Mutus Tua yang masih ditenggelami air pada Program Prihatin Menteri Komunikasi dan Multimedia Bersama Mangsa Banjir Sepang di penempatan sementara Orang Asli Tadom hari ini. - Foto Bernama
Annuar (kiri) ketika turun padang agihkan bantuan makanan dan keperluan harian kepada masyarakat Orang Asli Suku Temuan dari Kampung Orang Asli Tadom, Paya Rumput dan Mutus Tua yang masih ditenggelami air pada Program Prihatin Menteri Komunikasi dan Multimedia Bersama Mangsa Banjir Sepang di penempatan sementara Orang Asli Tadom hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan melancarkan Program Bantu Sampai Selesai bermula Rabu ini bagi membersihkan kediaman mangsa banjir sekitar Lembah Klang selama lima hari berturut-turut.

Menteri berkenaan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu akan dimulakan dengan menyasarkan 500 rumah di tiga lokasi yang terjejas teruk akibat banjir khususnya Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, Bukit Changgang di Kuala Langat dan Taman Sri Nanding di Hulu Langat.

Beliau berkata, lebih 1,000 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai kementerian dan agensi KKMM, artis, selebriti tanah air, persatuan industri kreatif serta media akan digerak bagi program itu.

“Apabila saya turun ke padang, saya mendapati keluarga (yang terjejas banjir) trauma kerana hendak bersihkan rumah. Sukarelawan datang dan balik selepas dua tiga jam, dan kerja tidak selesai.

“Oleh itu, setiap keluarga yang tertekan atau menghadapi masalah lambat membersihkan rumah, boleh membuat permohonan kepada jawatankuasa yang akan diumumkan esok,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada masyarakat Orang Asli di Tadom Hill di sini pada Isnin.

Annuar berkata, program itu akan memberikan bantuan dari segi tenaga, material dan kewangan kepada mangsa selain menyediakan kumpulan memasak sepanjang lima hari ia berlangsung.

Katanya, sehubungan itu, beliau memberikan cuti tanpa rekod kepada pegawai kementerian dan agensi KKMM yang menjadi sukarelawan program tersebut.

Beliau juga meminta mana-mana pihak termasuk belia yang ingin menjadi sukarelawan bagi program itu agar mendaftar melalui hotline Rumah Prihatin Wilayah Persekutuan mulai esok.

Artikel Berkaitan:

Annuar juga berkata, sebanyak 305 daripada 367 struktur komunikasi yang terjejas akibat banjir di Selangor telah dipulihkan oleh penyedia perkhidmatan di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Beliau memberi jaminan baki struktur yang lain akan kembali beroperasi dalam masa terdekat.

Katanya, terdapat 68 struktur komunikasi yang terjejas di sekitar kawasan Sepang dan 56 daripadanya telah dipulihkan setakat ini.

Sebelum itu, Annuar bersama dengan sukarelawan Rumah Prihatin mengedarkan selimut, air minuman dan kotak makanan bagi membantu 240 keluarga iaitu penduduk di sekitar Tadom Hill yang terjejas akibat banjir. - Bernama