Nadma arah PKOB di Sabah, Sarawak, Johor diaktif serta-merta

MetMalaysia meramalkan hujan berterusan di timur Sabah (27 Disember hingga 2 Januari), di barat Sarawak (29 hingga 31 Disember) serta di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan (30 Disember hingga 2 Januari). - Foto 123RF
MetMalaysia meramalkan hujan berterusan di timur Sabah (27 Disember hingga 2 Januari), di barat Sarawak (29 hingga 31 Disember) serta di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan (30 Disember hingga 2 Januari). - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi Sabah, Sarawak dan Johor mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) masing-masing serta-merta.

Nadma dalam kenyataannya pada Ahad turut meminta PKOB bagi Terengganu, Kelantan dan Pahang bersedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan hujan dijangka berterusan di antara 30 Disember ini hingga 1 Januari 2022.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan berterusan di timur Sabah (27 Disember hingga 2 Januari), di barat Sarawak (29 hingga 31 Disember) serta di Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan (30 Disember hingga 2 Januari).

"Pusat Kawalan Bencana Negara telahpun mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana kepada negeri-negeri yang terlibat untuk bersiap siaga," menurut kenyataan itu.

Nadma turut mengarahkan PKOB di daerah Hulu Langat dan Kuala Langat di Bukit Changgang untuk mengenal pasti keperluan penggunaan pam di kawasan banjir genang.

"Perkara ini adalah untuk penyelarasan dapat dibuat bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan jika perlu, (boleh) mendapat bantuan daripada (JPS) negeri-negeri lain," katanya.

Pada masa sama, PKOB negeri turut diminta menyelaras bantuan kepada mangsa terutama sumbangan barangan makanan yang mempunyai jangka hayat tidak lama bagi mengelakkan pembaziran.

Selain itu, Nadma memaklumkan mangsa yang terlibat masih boleh mendapatkan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan tinggal di PPS dalam tempoh tiga hari sementara menunggu kerja-kerja pembersihan kediaman selesai. - Bernama

Artikel Berkaitan: