Azurin sahut cabaran baharu di India

Izham bersama Azurin yang akan berkelana ke India dalam usaha mencari pengalaman baharu. - Foto PFAM
Izham bersama Azurin yang akan berkelana ke India dalam usaha mencari pengalaman baharu. - Foto PFAM
A
A
A

PENJAGA gol skuad wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan mengorak langkah dalam kariernya apabila berkelana ke India dalam usaha mencari pengalaman baharu.

Nurul Azurin yang akan mewakili sebuah kelab di sana, berlepas ke India dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam Rabu lalu.

Penghijrahan pemain berusia 21 tahun itu mendapat perhatian Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM) menerusi satu hantaran di Facebook bagi memberi suntikan semangat kepada pemain berkenaan.

"Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail menemui penjaga gol skuad bola sepak wanita kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan di KLIA malam tadi sebelum beliau berlepas ke India untuk mewakili sebuah kelab di sana.

"Selamat maju jaya buat Azurin! Doa kami rakyat Malaysia sentiasa bersama anda," menurut hantaran itu.

Dalam pada itu, hantaran itu turut menyatakan Presiden PFAM, Safee Sali telah menghubungi Nurul Azurin menerusi panggilan video bagi memberikan kata-kata semangat dan mendoakannya dalam mengejar cita-cita untuk mencari pengalaman berharga di luar negara. Nurul Azurin sebelum ini pernah mewakili negara dalam Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin, September lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: