Mangsa banjir boleh mohon skim pinjaman sehingga RM5,000

Mohd Shahar (kiri) turut membantu membersihkan kediaman penduduk di banjir di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin di sini pada Sabtu.
Mohd Shahar (kiri) turut membantu membersihkan kediaman penduduk di banjir di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin di sini pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Permohonan skim pinjaman MyRinggit-i Banjir di bawah seliaan Bank Simpanan Nasional (BSN) akan dibuka kepada rakyat secara dalam talian bermula Isnin ini.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pinjaman itu bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh mangsa banjir.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu, masyarakat boleh memulakan kehidupan baharu untuk membeli semula peralatan rumah yang telah rosak.

"Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan RM100 juta melalui BSN untuk meringankan beban mangsa banjir. Skim ini (MyRinggit-i Banjir) menawarkan jumlah pinjaman sehingga RM5,000 kepada setiap individu yang memohon.

"Pinjaman ini tidak dikenakan kadar faedah atau sifar faedah dan tempoh pembiayaan pula selama tiga tahun termasuk moratorium (rehat bayaran) enam bulan pertama ke atas pembayaran ansuran bulanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas gotong-royong bersama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membersihkan kediaman mangsa banjir di Perumahan Awam Kos Rendah Bukit Rangin di sini pada Sabtu.

Program tersebut melibatkan lebih 100 sukarelawan dan agensi kerajaan dari dalam dan luar Kuantan dalam kerja gotong royong untuk kerja-kerja pembersihan rumah rumah di situ.

Sebanyak 850 rumah membabitkan populasi penduduk seramai 5,000 di kawasan tersebut telah dinaiki air setinggi dua meter susulan hujan lebat pada 17 Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shahar berkata, pihak BSN akan mempermudahkan permohonan mereka dan meminta mangsa banjir di seluruh negara mengambil peluang ini pada kadar segera.

"Semua masyarakat perlu memohon kerana peruntukan ini amat terhad dan kerajaan juga akan melihat bagaimana respons (masyarakat) terhadap RM100 juta yang diperuntukkan oleh BSN.

"Sekiranya ada keperluan, kerajaan akan tambah, bagaimanapun ia bergantung kepada keperluan semasa," katanya.

Mohd Sahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar berkata, pinjaman tersebut juga boleh dipohon oleh para peniaga kecil yang terjejas sumber pendapatan akibat banjir.

"Dengan duit pinjaman tu mereka bolehlah kembali beroperasi sama ada membeli peralatan perlu di rumah atau di kedai masing-masing," katanya.

Bantuan itu boleh dimohon melalui e-mel bantuanbanjir@bsn.com.my atau layari www.bsn.com.my atau hubungi Pusat Perhubungan Pelanggan BSN melalui talian 1300-88-1900.