Korban banjir meningkat 46 orang, 5 masih hilang

Seramai 46 mangsa meninggal dunia akibat banjir di seluruh negara. - Foto Bernama
Seramai 46 mangsa meninggal dunia akibat banjir di seluruh negara. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Lima lagi mangsa banjir dilaporkan meninggal dunia menjadikan jumlah kematian akibat bencana itu yang melanda tujuh negeri sejak 18 Disember lepas kepada 46 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, jumlah tersebut merupakan angka rasmi setakat jam 4 pagi Sabtu.

"Mengikut pecahan berdasarkan negeri, Selangor paling banyak melaporkan insiden mati lemas mangsa banjir iaitu seramai 25 orang diikuti Pahang 18 mangsa terkorban dan Kelantan tiga mangsa mati lemas.

"Seramai lima lagi mangsa dilaporkan masih hilang akibat musibah luar biasa itu sehingga kini," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini pada Sabtu.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seramai 41 orang terkorban di seluruh negara akibat bencana banjir tersebut yang terdiri daripada 26 lelaki, 13 wanita dan dua kanak-kanak lelaki.

Menurut laporan, negeri Selangor mencatatkan angka korban tertinggi iaitu 25 orang diikuti Pahang (15 orang) dan seorang di Kelantan.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, lima mangsa yang dilaporkan hilang semuanya lelaki dewasa di Pahang masih lagi belum ditemui.

"Usaha untuk mengesan mereka sedang dijalankan pasukan penyelamat dan kita harap mereka ditemui secepat mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan: