Jumlah mangsa banjir di Hilir Perak menurun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

TELUK INTAN - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak menurun kepada 111 mangsa daripada 30 keluarga pada Jumaat.

Jumlah tersebut berkurangan sebanyak 42 orang berbanding 153 mangsa daripada 44 keluarga yang dilaporkan pada Khamis.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hilir Perak berkata, mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib, Changkat Jong di sini berkurangan kepada 44 orang daripada 10 keluarga.

"PPS yang dibuka pada jam 8 pagi, Ahad lalu menempatkan 10 lelaki, sembilan wanita dan 25 kanak-kanak yang terjejas dari Kampung Batu 7, Batu 7 1/2 dan Kampung Baru Batu 8," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, PPS Dewan Bandaran Teluk Intan pula menempatkan 67 mangsa daripada 20 keluarga.

"Mereka terdiri daripada 13 lelaki, 23 wanita dan 33 kanak-kanak yang merupakan penduduk dari Batu 7 1/2, Batu 9, Batu 10 Jalan Bidor, Batu 15 Kampung Ayer Hitam, Batu 6 Kampung Glouster dan Kampung Selat Manggis, Sungai Kerawai," katanya.

Banjir yang berlaku pada Ahad lalu akibat limpahan Sungai Bidor berikutan hujan berlarutan melebihi 24 jam menyebabkan kawasan penempatan penduduk dinaiki air.

Artikel Berkaitan: