Bekalan air di 21 kawasan Hulu Langat pulih

Penduduk Kampung Batu 18 melepaskan lelah serta berbual sebentar semasa membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir mulai surut - Foto Bernama
Penduduk Kampung Batu 18 melepaskan lelah serta berbual sebentar semasa membersihkan kediaman masing-masing selepas banjir mulai surut - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Status pemulihan bekalan air di 21 daripada 28 kawasan di Wilayah Hulu Langat yang terjejas telah pulih sepenuhnya pada jam 6 pagi Jumaat, berikutan Loji Rawatan Air (LRA) di Batu 11 Cheras sudah mula beroperasi.

Bagaimanapun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, pihaknya kini sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan loji dapat beroperasi pada kapasiti optimum.

“Bekalan air bersih dapat dibekalkan semula kepada para pengguna di kawasan yang terjejas secara berperingkat-peringkat, sehingga pemulihan penuh dicapai.

“Antara kawasan yang masih belum pulih adalah Taman Bukit Sungai Long, Taman Bukit Suria, Taman Sejati, Taman Sinar Harapan Cheras, Taman Taming Indah, Taman Tropicana Cheras dan Taman Wira Heights,” menurut kenyataan itu Air Selangor itu.

Dalam pada itu, Air Selangor bagaimanapun memberitahu bantuan alternatif melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Sebelum ini dilaporkan terdapat beberapa LRA dihenti tugas kerana paras air yang meningkat dan penutupan kecemasan bekalan elektrik Ahad lepas.

Pengguna boleh merujuk kepada saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi dan media sosial Air Selangor atau menghubungi Pusat Perhubungan Pelanggan Air Selangor di 15300 sementara pertanyaan dan aduan boleh dikemukakan di Pusat Bantuan Pelanggan melalui laman sesawang www.airselangor.com. - Bernama

Artikel Berkaitan: