Harap Liga-M 2022 ikut jadual

Selangor FC dan KL City FC antara dua kelab yang bersaing dalam saingan Liga-M. -Foto: Selangor FC.
Selangor FC dan KL City FC antara dua kelab yang bersaing dalam saingan Liga-M. -Foto: Selangor FC.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap supaya jadual bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022 dapat dilaksanakan mengikut perancangan bagi mengelakkan isu jadual perlawanan yang terlalu padat seperti yang berlaku pada musim 2021 sebelum ini.

Perkara itu ditegaskan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar yang turut mengesahkan bahawa jadual berkenaan telah pun diserahkan kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan sebagai persediaan awal.

Menurutnya, serahan awal jadual itu juga diharap dapat membantu memudahkan perancangan berhubung latihan dan perlawanan melibatkan skuad negara dapat dijalankan dengan lebih teratur.

“Biasanya MFL keluarkan jadual dan hantar kepada FAM. Untuk 2022 sudah hantar kepada ketua jurulatih untuk tarikh-tarikh latihan, perlawanan dan sebagainya. Tahun depan pun sama.

“Setelah menerima jadual berkenaan, pihak skuad kebangsaan akan slot-in (masukkan) jadual berkenaan dan kebiasaannya kita tak akan usik jadual itu terutamanya apabila melibatkan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

“Ini kerana untuk 2021 jadual memang banyak jadual yang dipinda sebab pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan untuk 2022, kita memang tak boleh nak jangka, tapi jadual sudah ada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Jadual padat bagi saingan Liga-M 2021 dilihat sebagai antara faktor yang menjejaskan persiapan skuad Harimau Malaya bagi mengharungi saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini hingga menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu gagal mara ke separuh akhir.

Setelah melakar dua kemenangan dengan menewaskan Kemboja 3-1 pada aksi pembukaan pada 6 Disember, menang 4-0 ke atas Laos (12 Disember), skuad negara kemudiannya tewas 0-3 kepada Vietnam (12 Disember) dan tewas 1-4 kepada Indonesia pada 19 Disember.

Artikel Berkaitan:

Malah, skuad negara beraksi di Piala Suzuki AFF 2020 tanpa melalui aksi persahabatan kecuali aksi tier 1 berdepan Jordan dan Uzbekistan pada Oktober.

Tambah Saifuddin, jadual padat bagi saingan Liga-M 2021 sememangnya tidak dapat dielakkan lantaran beberapa pindaan dibuat kepada jadual perlawanan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebab itulah kita tengok kenapa skuad Harimau Malaya hanya berlepas ke Singapura untuk beraksi di Piala Suzuki AFF 2020 dua hari setelah aksi final Piala Malaysia 2021 berakhir pada 30 November,” katanya.