Mangsa di PPS Selangor meningkat, beberapa negeri lain menurun

Mangsa banjir, Azlimi Ayub, 40, melahirkan perasaan bimbang ekoran banjir yang tidak surut walaupun telah melalui cuaca panas selama dua hari di kawasan Kampung Seri Tanjung, Dengkil dan kawasan terbabit juga terletak berhampiran Sungai Langat. - Foto Bernama
Mangsa banjir, Azlimi Ayub, 40, melahirkan perasaan bimbang ekoran banjir yang tidak surut walaupun telah melalui cuaca panas selama dua hari di kawasan Kampung Seri Tanjung, Dengkil dan kawasan terbabit juga terletak berhampiran Sungai Langat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor kembali meningkat manakala Kuala Lumpur dan lima negeri lain menunjukkan penurunan setakat petang Rabu.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan jumlah mangsa seramai 62,795 orang dengan 401 PPS dibuka setakat ini melibatkan tujuh negeri iaitu Selangor, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan seramai 21,385 mangsa banjir daripada 5,510 keluarga dicatatkan petang Rabu, meningkat sedikit berbanding 21,047 mangsa banjir daripada 5,274 keluarga pada 12.38 tengah hari, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 117 PPS.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya berkata, sebanyak 1,073 tan sampah dan tinggalan banjir diangkut pada Selasa di kawasan terlibat dan kerajaan negeri akan melipatgandakan usaha membantu penduduk membersihkan rumah.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan iaitu sebanyak 36,841 orang yang ditempatkan di 267 PPS di sembilan daerah setakat 4 petang, berbanding 38,810 orang di 285 PPS tengah hari Rabu.

Selain itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir di beberapa tempat melibatkan daerah Rompin pada sebelah malam.

Kerajaan negeri Pahang pada Rabu turut melancarkan Tabung Bencana Banjir Pahang 2021 dengan sumbangan boleh dibuat melalui pindahan dalam talian menerusi nombor akaun 06010002165711 (Bank Muamalat) dengan rujukan Tabung Banjir Pahang.

Jumlah mangsa banjir di KELANTAN turut menunjukkan penurunan setakat 6 petang, apabila seramai 1,782 orang daripada 603 keluarga ditempatkan di 10 PPS di Pasir Mas dan Kuala Krai, berbanding 2,415 orang daripada 760 keluarga, tengah hari Rabu.

Artikel Berkaitan:

Portal rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan hanya dua sungai utama berada pada paras bahaya melibatkan jajahan Pasir Mas iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan bacaan 9.31 meter (m) dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang (9.24 m).

Di MELAKA, bilangan mangsa yang ditempatkan di tiga PPS di Alor Gajah dan Jasin berkurangan kepada 150 orang daripada 37 keluarga setakat jam 4 petang berbanding 165 mangsa daripada 41 keluarga, tengah hari Rabu.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, sebanyak 319 orang daripada 80 keluarga ditempatkan di dua PPS iaitu Kelab Sultan Sulaiman dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy manakala di NEGERI SEMBILAN sebanyak 345 mangsa ditempatkan di lima PPS.

Di PERAK, banjir menyebabkan 257 mangsa daripada 72 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak setakat jam 6 petang. - Bernama