Pesara rugi RM108,500 ditipu Macau Scam menyamar polis

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang pesara syarikat minyak dan gas kerugian RM108,500 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai polis pada 10 Disember lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata lelaki berumur 66 tahun itu menerima panggilan daripada seorang ‘pegawai polis’ dikenali sebagai ‘Sarjan Lee’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh menyatakan wang dalam akaun simpanannya adalah wang haram dan tidak berdaftar.

"Mangsa memberitahu wang tersebut tidak haram dan ia milik mendiang bapanya. Pada 13 Disember lepas dia telah pergi ke Ambank Cawangan Port Dickson dan membuat pemindahan wang melalui mesin ATM sebanyak RM50,000," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Aibee berkata, selepas warga emas itu membuat pemindahan wang, suspek telah menghantar salinan surat daripada Jabatan Audit Negara melalui WhatsApp yang menyatakan surat tersebut adalah berkenaan aset yang perlu disiasat untuk memastikan wang tersebut adalah haram atau sebaliknya.

Katanya, suspek turut mengarahkan lelaki itu membuat pemindahan wang ke dalam akaun yang sama pada hari berikutnya sebanyak dua kali, RM50,000 dan RM3,500 dan terakhir RM5,000 pada 15 Disember.

Menurut Aibee, suspek memberi satu tempoh untuk wang tersebut dikembalikan apabila siasatan selesai namun sehingga sekarang lelaki itu masih tidak menerima sebarang perkembangan berhubung wang itu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama

Artikel Berkaitan: