15 RAMD bantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi

15 RAMD bantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi pada Isnin lepas. - Foto ihsan TDM
15 RAMD bantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi pada Isnin lepas. - Foto ihsan TDM
A
A
A

JELEBU - Seramai dua pegawai dan 23 anggota lain-lain pangkat (LLP) Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja (15 RAMD) diatur gerak membantu mangsa banjir di Taman Negeri Kenaboi pada Isnin.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam kenyataannya pada Rabu berkata, sebelum itu, beberapa anggota tentera menemui tiga orang awam yang sedang mencari bekalan makanan pada jam 11.15 pagi.

"Susulan daripada itu, satu kumpulan tinjau diatur gerak untuk mencari laluan masuk dan mengenal pasti jumlah orang awam yang memerlukan bantuan.

"Kumpulan tinjau akhirnya berjaya menemui 50 orang awam yang terperangkap dan terputus bekalan makanan serta ubatan sejak dilanda banjir dua hari lalu," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan bantuan bekalan makanan serta ubat-ubatan seterusnya dibawa masuk ke Taman Negeri Kenaboi bagi membantu mangsa yang terlibat.

"Seramai 31 orang bersetuju untuk dibawa keluar dan ditempatkan di Kem Rekreasi Bukit Perjuangan, manakala baki 19 lagi enggan keluar telah dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Jelebu untuk tindakan selanjutnya.

"Gerakan mencari dan menyelamat seperti ini sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian difahamkan ketika ini, kesemua mangsa terlibat termasuk 19 individu berkenaan telah berjaya dibawa keluar dan dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Jelebu.

Artikel Berkaitan: