Lebih 7,000 pegawai JKM digerakkan ke negeri terlibat banjir

Rina (kanan) beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang pada Selasa. - Foto Bernama
Rina (kanan) beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Bukit Canggang pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Lebih 7,000 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah digerakkan ke lapan negeri yang terjejas akibat banjir bagi menyantuni mangsa banjir, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, negeri terbabit adalah Terengganu, Pahang, Kelantan, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Kesemua mereka telah digerakkan ke lokasi sejak hari pertama banjir berlaku. Selain menghulurkan bantuan, ada juga di antara mereka yang merupakan kaunselor yang akan memberi khidmat kaunseling kepada mangsa yang berada di PPS (pusat pemindahan sementara),” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang di sini hari ini, Rina berkata pegawai daripada enam agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut dilibatkan.

Mengenai siri lawatannya ke PPS, Rina berkata, ia membantu pihaknya untuk mengenal pasti jenis keperluan serta permasalahan yang dihadapi mangsa bencana alam terbabit.

Beliau yang berpuas hati dengan aspek pengurusan dan sumbangan kepada mangsa banjir berkata sumbangan daripada pelbagai pihak masih dialu-alukan, bagi memastikan tiada golongan tercicir.

“Saya lihat dari segi sumbangan Alhamdulillah mencukupi, cumanya selepas ini KPWKM akan bantu bagaimana untuk mereka bersihkan kediaman mereka,” katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa.

Lebih 500 orang daripada 313 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang sejak dibuka pada 18 Disember (Sabtu) lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: