Ibu berpantang, bayi 21 hari harung banjir

Mangsa-mangsa banjir mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya pada Selasa. - Foto Bernama
Mangsa-mangsa banjir mengambil barang keperluan berikutan banjir yang masih belum surut sepenuhnya pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Meredah hujan lebat dan air banjir ketika baru 21 hari melahirkan anak pada Sabtu lepas, merupakan pengalaman pahit yang terpaksa ditempuhi seorang ibu muda yang menjadi antara lebih 20,000 mangsa banjir di Selangor setakat pada Selasa.

Miss Rokiah P Mahamad, 24, berasal dari Thailand berkata, bayi perempuannya itu merupakan anak keempat dengan dua daripadanya berada di negara itu ketika ini.

Beliau berkata, rumahnya yang terletak di Kampung Tengah, Puchong mula dinaiki air pada Sabtu dan terus meningkat sehingga menenggelamkan keseluruhan rumah ibu mentuanya.

“Orang kampung ketika itu mula menggunakan bot-bot mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir termasuk kami kerana pihak bomba ketika itu mempunyai tenaga dan peralatan yang terhad,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat penempatan sementara (PPS) di Putra Heights dekat sini.

Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, dalam keadaan badan yang masih belum pulih sepenuhnya, beliau menaiki bot ke kedai makan di kampungnya dan mula berjalan kaki ke stesen minyak berdekatan bagi mendapatkan bantuan dan kemudiannya dihantar ke PPS.

“Mujur pada waktu itu bayi saya tidak meragam atau menangis walaupun hujan sangat lebat sepanjang hari tersebut,” katanya.

Miss Rokiah P berkata, beliau melalui tempoh berpantang di PPS itu dengan perasaan sayu apabila mengenangkan keadaan rumah mentuanya yang rosak teruk selain suami yang telah lama kehilangan kerja.

“Namun, saya bersyukur dapat duduk berteduh di PPS ini kerana boleh dikatakan agak selesa,” katanya sambil menambah seramai lapan ahli keluarganya kini berada di PPS berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Miss Rokiah P berkata, suami dan ahli keluarganya yang lain kini pulang sebentar ke rumah untuk memulakan kerja-kerja pembersihan memandangkan air di kawasan rumahnya telah surut. - Bernama