Statut Rom: Kedudukan Agong terpelihara: Saifuddin

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan Malaysia menandatangani Statut Rome Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dipersetujui oleh Jemaah Menteri setelah berpuas hati bahawa kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata kekhuatiran sesetengah pihak bahawa Yang di-Pertuan Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di ICC merupakan tanggapan yang salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau perlembagaan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak akan menerima kesan secara peribadi setelah Malaysia menjadi Negara Pihak kepada ICC," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata beliau telah dititah untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa (12 Mac) untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka akan perkembangan susulan penyertaan Malaysia ke Statut Rom ICC yang dimeterai pada 4 Mac.

Dalam majlis menghadap tersebut, menurut Saifuddin beliau telah menyembah maklum perkara mengenai penyertaan Malaysia ke Statut Rom ICC dan Seri Paduka telah menitahkan agar beliau menerangkan perkara tersebut kepada orang ramai.

Menurut Saifuddin, Statut Rom merupakan suatu perjanjian antarabangsa yang mewujudkan ICC yang berfungsi sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada di sesuatu Negara Pihak (State Party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti yang terkandung dalam Artikel 5 Statut Rom iaitu genosid, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Sehingga 4 Mac 2019, sebanyak 124 negara telah menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom, katanya.

"Penyertaan Malaysia ke Statut Rom mencerminkan kesungguhan negara selain meningkatkan imejnya di persada antarabangsa dalam membanteras jenayah antarabangsa yang serius dan membawa mereka yang melakukan jenayah terkutuk seperti yang termaktub dalam Artikel 5 Statut Rom ke muka pengadilan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Penyertaan Malaysia itu adalah selari dengan dasar 'Malaysia Baharu' yang menegakkan prinsip kebenaran, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang, keadilan, tadbir urus yang baik, integriti dan kebertanggungjawaban, katanya.

Menurut Saifuddin, sebagai Negara Pihak antara lainnya Malaysia boleh merujuk kepada Pendakwa ICC di bawah Artikel 13(A) Statut Rom mengenai jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh mana-mana pihak sekiranya perlu.

Juga mempunyai suara dalam persidangan tahunan negara-negara pihak dan layak mencalonkan rakyatnya sebagai hakim, pendakwa dan pendaftar ICC serta pemegang jawatan lain di pejabat pendakwa dan pejabat pendaftar ICC, katanya.

Saifuddin dalam kenyataannya itu turut menjelaskan mengenai Perkara 41 yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan tetapi ia tidak memberi kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan perang.

Menurutnya, perkara itu perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40, iaitu Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugasnya atas nasihat Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

"Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak bertanggungjawab untuk empat jenayah terkutuk yang dikenal pasti dalam Artikel 5 Statut Rom.

"Tanggungjawab undang-undang untuk sebarang pengisytiharan perang dan pelaksanaannya terletak pada Perdana Menteri serta anggota-anggota Jemaah Menteri,” katanya.

Saifuddin berkata beliau turut menyembah maklum kepada Seri Paduka bahawa dengan menjadi negara pihak ICC, Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda.

"Hanya pindaan undang-undang substantif dan prosedur yang perlu dilaksanakan," katanya.

Mengenai tanggapan bahawa penyertaan Malaysia ke ICC memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja, Saifuddin berkata menurut Perlembagaan Persekutuan, persetujuan Majlis Raja-Raja diperlukan apabila hendak dilakukan pindaan ke atas Perlembagaan yang melibatkan sembilan perkara selaras dengan Perkara 159 (5) dan Perkara 38 (4).

i. Sekatan terhadap kebebasan bercakap melarang persoalan isu-isu sensitif: perkara 10(4);

ii. Pemerolehan Kewarganegaraan: Bahagian III;

iii. Keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja: Perkara 38;

iv. Keistimewaan Parlimen dan Keistimewaan dewan undangan: Perkara 63 dan 72;

v. Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri: Perkara 70;

vi. Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri: Perkara 71;

vii. Bahasa kebangsaan: Perkara 152;

viii. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak: Perkara 153;

ix. Pindaan Perlembagaan di bawah Perkara 159(5).

Saifuddin berkata penyertaan Malaysia ke Statut Rom tidak termasuk dalam sembilan perkara itu.

"Walau bagaimanapun, Jemaah Menteri mengambil keputusan untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka akan keputusan menyertai Statut Rom ini sebagai menghormati prinsip raja berperlembagaan," katanya.

Merujuk kepada Fasal (1) Perkara 80 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 39 dengan Fasal (1) dan (2) Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, menurut Saifuddin perkara mengenai menandatangani dan pelaksanaan Instrumen Antarabangsa yang melibatkan hal ehwal luar negeri terletak hak di bawah kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan.