Koordinasi lemah antara punca bantuan banjir lewat sampai di Selangor

Haizir (kiri) bertanyakan soalan kepada Rodziah (kanan) dalam program Sinar Live bertajuk 'Bila Alam Mula Menangis' yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Isnin.
Haizir (kiri) bertanyakan soalan kepada Rodziah (kanan) dalam program Sinar Live bertajuk 'Bila Alam Mula Menangis' yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM – Koordinasi lemah antara faktor menyebabkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Selangor lewat sampai, kata Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail.

Beliau mendakwa, ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor merasakan layanan daripada kerajaan Persekutuan kepada Selangor seolah-olah dianaktirikan.

“Kerajaan Malaysia, kerajaan negeri tidak kira apa latar belakangnya kena mengenepikan segala faktor supaya akhirnya bila berlaku masalah begini, ia tidak boleh kita beri layanan yang berbeza.

“Bila ia berkaitan dengan keselamatan rakyat, nyawa rakyat (dan) bencana yang kita tidak dapat jangkakan, kita kena berlaku profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Sinar Live bertajuk ‘Bila Alam Mula Menangis’ dikendalikan oleh Haizir Othman yang disiarkan menerusi semua platform Sinar Harian pada Isnin.

Haizir sebelum itu bertanyakan adakah wujud layanan yang tidak adil atau berbeza disebabkan negeri Selangor merupakan negeri pembangkang.

Rodziah menambah, selain daripada aspek terbabit, aspek ketelusan juga adalah antara perkara penting dalam mengendalikan masalah bencana seperti banjir.

“Saya sendiri telefon pihak bomba, polis boleh tolong (beritahu) tak apa situasi sebenarnya. Macam mana, boleh sampai pukul berapa, ada ke, tidak ada ke.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi semua soalan-soalan kami ini tidak dijawab. Jadi kita rasa putus asa (hopeless) dan kita rasa tidak berdaya (helpless),” jelasnya.

Beliau yang merupakan ADUN Batu Tiga turut merasa terkilan kerana segala persoalan atau pertolongan yang diminta tidak ada jawapannya.

“Ada atau tidak ada, boleh atau tidak boleh atau bilakah ia dapat kita peroleh. Itu saya rasa terkilan,” katanya.

Rodziah dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa dalam pengurusan bencana, ruang lingkup kerajaan negeri adalah terhad.

“Bila berlakunya bencana kita tahu yang sepatutnya memberi arahan adalah pihak atasan bukannya kita,” jelasnya.