10 bot DBKL akan digerakkan ke Taman Sri Muda bantu mangsa banjir

Datuk Seri Shahidan Kassim
Datuk Seri Shahidan Kassim
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Wilayah Persekutuan akan menggerakkan aset air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan agensi lain di bawah kementerian itu bagi mempercepatkan urusan mengeluarkan mangsa banjir di Taman Sri Muda.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, sebanyak 10 bot daripada pihak berkuasa tempatan itu serta aset-aset bantuan lain akan digerakkan secepat mungkin.

“Keadaan banjir sudah berkurang di Wilayah (Kuala Lumpur), saya telah kerahkan mereka untuk datang di sini (Taman Sri Muda).

“Setakat ini yang ada di sini sudah dua pasukan penguat kuasa daripada semalam. Pasukan tambahan daripada DBKL dalam proses perjalanan ke sini,” katanya pada pemberita selepas meninjau keadaan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Isnin.

Shahidan berkata, pihaknya juga menyiapkan 2,000 pek makanan untuk diagihkan pada Isnin manakala sebanyak 3,000 lagi akan diagihkan pada Selasa.

“Keperluan lain dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kami akan bagi jika ada permintaan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: