Lelaki baru berkahwin 8 hari ditemui mati lemas

Mayat Muhammad Syafiq ditemui terapung di belakang Taman SP 18, Desa Salak Pekerti, Sepang pada Isnin. - Foto instagram Jabatannetizennegara20
Mayat Muhammad Syafiq ditemui terapung di belakang Taman SP 18, Desa Salak Pekerti, Sepang pada Isnin. - Foto instagram Jabatannetizennegara20
A
A
A

SEPANG - Seorang lelaki yang baru sahaja berkahwin pada 12 Disember lalu ditemui mati lemas berhampiran tali air di belakang Taman SP 18, Desa Salak Pekerti di sini pada Isnin.

Mangsa, Muhammad Syafiq Saharudin, 26, bertugas sebagai pegawai operasi untuk Malaysia Airports Holding Bhd di bahagian pengurusan pelanggan di kaunter maklumat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa kali terakhir dilihat meredah air banjir sedalam kira-kira 1.5 meter untuk pulang ke rumah kerana ingin mengambil barang sekitar jam 4.30 petang pada Sabtu.

"Pada 20 Disember (Isnin) sekitar jam 11 pagi seorang penduduk Taman Salak Pekerti telah melihat mayat terapung di belakang rumahnya dan menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal pegawai di tempat kejadian dan pemeriksaan tubuh mangsa mendapati tiada unsur-unsur jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Foto Facebook Malaysia Airports
Foto Facebook Malaysia Airports

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk menjalani ujian calitan Covid-19 sebelum dibedah siasat.

Sementara itu Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam satu hantaran Facebook berkata, Allahyarham merupakan seorang yang berdedikasi, beretika tinggi dan ikhlas dalam menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

“Pemergian beliau adalah satu kehilangan yang besar buat kami semua. Allahyarham yang baru mendirikan rumahtangga minggu lalu amat disenangi oleh keluarga dan rakan-rakannya," menurut kenyataan tersebut.