Kutipan sampah alami sedikit kelewatan: KDEBWM

Kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan akibat banjir di beberapa kawasan di Selangor.
Kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan akibat banjir di beberapa kawasan di Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan serta kesukaran disebabkan jalan ditutup akibat banjir di beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd Tahir dalam satu kenyataan memaklumkan, lokasi terbabit adalah di beberapa kawasan di Klang, Shah Alam, Kajang, Ampang Jaya dan Kuala Langat.

Beliau turut memberitahu beberapa lori KDEBWM turut mengalami kerosakan ekoran bencana banjir besar yang melanda Selangor bermula sejak Sabtu.

"Pihak kami memohon agar penduduk meletakkan sisa domestik di tong sampah atau kebuk sampah manakala sampah pukal di hadapan rumah atau di tong 'Roll-On-Roll-Off' (RORO) yang disediakan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Ramli berkata, kerja-kerja kutipan sampah domestik dan pukal akan dijalankan secara beransur-ansur yang berkemungkinan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Ramli Mohd Tahir
Ramli Mohd Tahir

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman, beberapa jalan ke tapak pelupusan masih lagi ditutup menyebabkan proses pelupusan sampah turut mengalami kesukaran dan kelewatan.

"Pihak kami memohon maaf atas perkara ini dan berharap penduduk yang dilanda musibah ini terus tabah serta sabar menghadapi kesulitan ini," ujarnya.

Bagaimanapun beliau menegaskan KDEBWM akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor dan akan terus bersama-sama membantu kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan bagi proses pemulihan banjir di negeri ini.