JKM redah banjir 3 jam dengan sampan ke pusat pemindahan

Sampan terpaksa digunakan untuk membawa bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kg Lubuk Kulit, Lipis ekoran kawasan tersebut terkepung banjir.
Sampan terpaksa digunakan untuk membawa bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kg Lubuk Kulit, Lipis ekoran kawasan tersebut terkepung banjir.
A
A
A

KUANTAN - Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Lipis terpaksa menempuh perjalanan hampir tiga jam untuk menghantar bantuan makanan dan barang keperluan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Lubuk Kulit, Lipis, pada awal pagi pada Isnin.

Perjalanan dari depoh bekalan di Lipis ke pusat pemindahan itu terpaksa menggunakan laluan lain yang jauh ekoran laluan sedia ada dinaiki air.

Sampan juga terpaksa digunakan untuk membawa bekalan ekoran kedudukan PPS Kg Lubuk Kulit yang terkepung dengan banjir.

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin mengakui proses penghantaran amat mencabar dan berisiko.

"Dari depoh kita bawa bekalan menggunakan kenderaan darat melalui laluan termasuk dalam kawasan Felda untuk sampai ke lokasi terdekat.

"Dari situ bekalan diangkut menggunakan sampan untuk sampai ke lokasi," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Zulkhairi menjelaskan, penghantaran ini amat berisiko kerana perjalanan dilakukan pada awal pagi dalam keadaan persekitaran yang gelap.

Pegawai JKM Daerah Lipis terpaksa berdepan pelbagai kesukaran untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kg Lubuk Kulit, Lipis pada awal pagi Isnin.
Pegawai JKM Daerah Lipis terpaksa berdepan pelbagai kesukaran untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir di PPS Kg Lubuk Kulit, Lipis pada awal pagi Isnin.

Artikel Berkaitan:

"Penghantaran bekalan itu terpaksa dilakukan kerana mangsa di PPS itu sangat memerlukan bekalan makanan dan barang keperluan lain.

"Pegawai terlibat seramai lima orang bergerak kira-kira jam 1 pagi ke sana untuk membawa bantuan makanan dan keperluan seperti selimut, toto dan sebagainya walaupun berdepan pelbagai kesukaran.

Lebih menyukarkan keadaan, katanya selain terputus hubungan, kawasan tersebut juga mengalami gangguan bekalan elektrik.

"Komunikasi juga terganggu apabila mangsa dan ketua kampung terlibat tidak dapat dihubungi kerana telefon kehabisan bateri," katanya.

Beliau menjelaskan, operasi penghantaran bantuan di pusat pemintahan itu agak mencabar, namun semuanya berjalan lancar dan bekalan dihantar selamat sampai.

Menurut beliau, tiada cara lain yang sesuai untuk menghantar bekalan ke pusat itu kerana laluan sedia ada sudah dinaiki air dan tidak boleh dilalui walaupun menggunakan kenderaan berat.