Prestasi lima koridor wilayah ekonomi perlu dinilai

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Lima koridor wilayah pembangunan ekonomi yang dilancarkan ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, kini wajar dinilai bagi memastikan keberkesanannya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, ini penting termasuk dari segi perkongsian kejayaan selain mengenal pasti kelemahan yang wujud di wilayah tersebut.

Lima kawasan itu adalah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Menurut Sulaiman, hanya dua kawasan iaitu Iskandar Malaysia and NCER yang dilihat mencatat kejayaan.

"Oleh itu, wujud keperluan untuk menganalisis sumber kejayaan Iskandar Malaysia dan NCER serta bagaimana dua kawasan ini dapat dimanfaatkan bagi membangunkan serta menambah baik tiga koridor lain,” katanya ketika menyertai forum mengenai pembangunan mampan koridor ekonomi itu di sini, hari ini.

Sulaiman berkata adalah sukar untuk seluruh negeri Sabah menjadi satu koridor manakala kawasan ECER yang meliputi beberapa negeri pula terlalu luas.

Sehubungan itu, katanya, semua kelemahan berkaitan perlu dikenal pasti.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Datuk Ismail Ibrahim yang juga salah seorang panelis forum itu berkata, saiz Iskandar Malaysia telah meningkat secara ketara (sehingga 140 peratus) kepada 2,749 kilometer persegi ketika ini berbanding 2,217 kilometer persegi sewaktu diwujudkan sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: