Lantikan Pengerusi MPN bidang kuasa Presiden PKR: Christina

Christina ketika hadir pada Program Agenda Generasi Digital Menjelang PRU15, di Penampang.
Christina ketika hadir pada Program Agenda Generasi Digital Menjelang PRU15, di Penampang.
A
A
A

PENAMPANG - Pelantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) adalah di bawah bidang kuasa Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew.

Christina berkata, beliau akan mengenal pasti terhadap kemahuan sebenarnya 16 Ketua Cabang dalam usaha mengukuhkan parti PKR di Sabah.

"Kena sahkan Ketua Cabang itu dan akan lihat kesannya kepada perkara ini serta apa yang mereka mahukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Agenda Generasi Digital Menjelang PRU15, di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas berhubung desakan 16 Ketua Cabang untuk menukar kepimpinan Pengerusi MPN Sabah.

Ahli Parlimen Tawau itu turut berkata, kerisauannya pada masa ini adalah apabila tidak dapat membantu mempromosikan parti bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya tidak mahu kejadian di Sarawak berulang semasa PRU dan itu kerisauan saya. Maka, saya mahu memberi fokus untuk membawa PKR terus bergerak ke hadapan bagi memastikan kita mampu memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU-15. Ini keutamaan saya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 16 pemimpin PKR Sabah desak gugurkan Christina

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Ahad melaporkan seramai 16 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di negeri itu mendesak supaya beliau digugurkan sebagai Pengerusi MPN Sabah.

Pada awal bulan ini turut dilaporkan 17 daripada 26 Ketua Cabang PKR Sabah didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk menolak beliau sebagai Pengerusi MPN di Sabah.