333 pencawang elektrik di beberapa negeri ditutup: TNB

Takiyuddin (dua dari kiri) melawat Metro Regional Control Center di Kompleks Ibu Pejabat TNB dan diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution Sistem Operator, Ganesh M Subramaniam (kiri) mengenai kesiapsiagaan TNB dalam menghadapi bencana banjir. Turut hadir Baharin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood (kanan)
Takiyuddin (dua dari kiri) melawat Metro Regional Control Center di Kompleks Ibu Pejabat TNB dan diberi taklimat oleh Ketua Jurutera Distribution Sistem Operator, Ganesh M Subramaniam (kiri) mengenai kesiapsiagaan TNB dalam menghadapi bencana banjir. Turut hadir Baharin (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian, Wan Nazmy Wan Mahmood (kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 333 pencawang elektrik di Pahang, Kelantan, Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan ditutup sementara atas faktor keselamatan sejak Sabtu berikutan banjir melanda di negeri tersebut.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir Baharin Din berkata, sehingga jam 12 tengah hari Ahad, penutupan membabitkan 17,251 pengguna di Pahang, Selangor (5,062), Kuala Lumpur (4,450), Melaka (634), Kelantan (470) dan 284 pengguna di Negeri Sembilan.

Tambahnya, sebanyak 137 pencawang ditutup di Pahang, Kelantan (7) Selangor (117), Kuala Lumpur (45) Melaka (10) dan Negeri Sembilan (17).

“TNB turut memberikan bekalan elektrik melalui set janakuasa mudah alih di pusat pemindahan sementara yang tidak menerima bekalan daripada pencawang.

“Penutupan pencawang elektrik ketika banjir dilakukan untuk keselamatan pengguna dan TNB sentiasa berusaha memulihkan bekalan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengguna dan pekerja TNB,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut menasihati pengguna di kawasan banjir untuk sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah dan menghubungi TNB Careline di talian 15454 jika ada pepasangan TNB, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau Jabatan Kerja Raya (JKR) yang beralih atau tumbang.

Beliau juga mahu orang ramai menjauhkan diri daripada menghampiri tiang elektrik, pepasangan elektrik dan kabel elektrik termasuk yang bersalut dengan penebat yang ditenggelami air kerana kemungkinan masih mempunyai arus bekalan elektrik dan boleh menyebabkan risiko renjatan

“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati ketika menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

"Elakkan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembap kerana boleh menyebabkan renjatan elektrik," katanya.

Menurut Baharin, pengguna disaran mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga bagi memeriksa pendawaian dalam premis mereka selepas banjir surut.

“TNB memahami kesukaran yang dialami mangsa banjir namun keselamatan mereka tetap menjadi pertimbangan utama dalam proses pemulihan bekalan tenaga apabila air surut," katanya.

Sementara itu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berpuas hati dengan kesiapsiagaan TNB dalam usaha yang berterusan menjaga bekalan elektrik dan memastikan keselamatan orang ramai dalam menghadapi bencana banjir.

“Terima kasih kepada warga kerja barisan hadapan TNB yang bertungkus-lumus di lapangan dan saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan mematuhi langkah-langkah keselamatannya,” katanya selepas mendengar taklimat mengenai operasi TNB dan langkah-langkah yang diambil ketika dan selepas banjir, di Metro Regional Control Center (MRCC), Kompleks Ibu Pejabat TNB, pada Ahad.