50 penduduk nyaris tertimbus tanah runtuh

Lebih 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala di sini terselamat daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam, Ahad.
Lebih 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala di sini terselamat daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam, Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 50 penduduk dari sembilan rumah di Kampung Palimbayan Tanah 60, Sungai Penchala di sini terselamat daripada tertimbus dalam kejadian tanah runtuh jam 12.30 tengah malam, Ahad.

Kesemua yang terlibat merupakan penduduk yang tinggal di kawasan lereng bukit. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Sembilan rumah tersebut ranap sama sekali manakala hampir 70 penduduk dari 11 rumah di sekitar, sudah mengosongkan kediaman masing-masing selepas mereka diminta untuk berpindah ke pusat penempatan sementara (PPS) oleh pihak berkuasa.

Menceritakan detik kejadian, seorang penduduk, Sawadi Sawi, 56, berkata, dia dikejutkan dengan jeritan jiran supaya segera melarikan diri.

"Saya menoleh ke belakang dan melihat pokok durian, tanah serta batu mula runtuh menuju ke rumah saya.

"Disebabkan terlalu terkejut, saya kaku di pintu rumah sehingga dipanggil jiran-jiran," katanya.

Ekoran itu Sawadi berkata, dia tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk motosikal yang digunakan untuk ke tempat kerja.

Malah katanya, dia sedih menyenangkan rumah yang diduduki sejak 30 tahun lalu itu, musnah 100 peratus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 2 Segambut, Mohd Razif Buang berkata, kejadian ini menyebabkan 50 penduduk mengalami kerugian manakala 70 yang lain terperangkap dan tidak dapat keluar untuk mencari makanan.

Mohd Razif menunjukkan sembilan rumah ranap akibat tanah runtuh di Kampung Palimbayan Sungai Penchala, Damansara pada jam 12.30 tengah malam Ahad.
Mohd Razif menunjukkan sembilan rumah ranap akibat tanah runtuh di Kampung Palimbayan Sungai Penchala, Damansara pada jam 12.30 tengah malam Ahad.

Ia adalah kerana, laluan ke kediaman mereka ditimbusi tanah runtuh sepanjang 100 meter.

Bagi memastikan keselamatan penduduk, kawasan ini ditutup kepada semua kenderaan malah mereka dinasihati supaya tidak pulang ke rumah masing-masing kerana pergerakan tanah masih berlaku.

"Oleh itu, sebahagian daripada mangsa ditempatkan di PPS Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Masjid Al Hidayah dan Surau Islamiah.

"Mangsa dari pelbagai peringkat usia termasuk dua bayi berusia empat bulan, warga emas terlantar dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan perlindungan di PPS berkenaan," katanya.

Semua bentuk bantuan antaranya daripada Menteri Wilayah Persekutuan baharu Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) disampaikan kepada ahli jawatankuasa MPP di sini sejak malam Sabtu.

Bagaimanapun katanya, memandangkan laluan masih ditutup, mereka terpaksa menyampaikan bekalan makanan kepada mangsa yang terperangkap melalui denai kebun di sini.

"Ini bukan kali pertama kejadian tanah runtuh berlaku, kali terakhir kejadian seumpamanya berlaku sekitar empat atau lima tahun lalu, tetapi kali ini paling teruk kerana menyebabkan sembilan rumah runtuh," katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya akan menulis surat kepada menteri supaya kesemua mangsa yang terjejas teruk menerima bantuan kewangan.

"Saya tak rasa mangsa boleh tinggal sebulan dua di lokasi sementara atau di kawasan ini untuk kerja-kerja pembaikan, jadi bantuan perumahan juga penting untuk mereka.

"Agak bahaya jika hujan berterusan, dikhuatiri kejadian tanah runtuh ini akan berulang," katanya selepas meninjau kejadian tanah runtuh di sini.