Rancang perjalanan di lokasi banjir: Polis Kelantan

Shafien (kiri) menyampaikan sijil kepada anggota yang menerima penganugerahan pada Ahad.
Shafien (kiri) menyampaikan sijil kepada anggota yang menerima penganugerahan pada Ahad.
A
A
A

JELI - Orang ramai terutama perantau dinasihatkan merancang perjalanan dengan betul bagi memastikan tidak terperangkap di kawasan yang terjejas banjir.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, semua pihak perlu sentiasa waspada dengan keadaan semasa supaya dapat mengelak daripada kejadian tidak diingini.

"Nasihat saya supaya rakyat Kelantan dan perantau mengikuti maklumat semasa melalui pelbagai aplikasi disediakan oleh agensi dari kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Risau kalau berlaku tanah runtuh dan sebagainya. Maka nasihat saya, lebih baik buat semakan awal dan jangan mudah percaya dengan apa diviralkan tanpa pengesahan," katanya selepas mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini, pada Ahad.

Beliau turut merasmikan pembukaan Rumah Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Jeli dan penyampaian sijil penghargaan serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota terlibat.

Shafien menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau dan mengawal pergerakan anak-anak kecil supaya mereka tidak bermain air banjir.

"Hampir setiap tahun berlaku kemalangan jiwa melibatkan lemas dan sebagainya. Polis harap ia dapat dibendung sebaik mungkin dengan kerjasama ahli keluarga.

"Jangan meredah air kerana kita tidak tahu sejauh mana kenderaan mampu mengharungi air. Mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) pula diminta jaga prosedur operasi standard (SOP) sebab kita masih lagi dalam berjuang melawan pandemik Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: