Hujan lebat berterusan tahap bahaya di Perak sehingga hari ini

Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir. - Foto Bernama
Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca bahaya tahap merah, dengan jangkaan hujan sangat lebat berterusan di beberapa kawasan negeri Perak sehingga Ahad (19 Disember).

MetMalaysia dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan, kawasan yang terlibat di negeri itu ialah Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran buruk dengan hujan lebat berterusan di Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu (Kedah), Kerian, Larut, Matang Dan Selama, dan Kuala Kangsar (Perak), Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut dan Kuantan (Pahang) dan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan sama, amaran waspada turut dikeluarkan di kawasan Kedah; Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Sik dan Baling, manakala Pahang; Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin, serta Selangor di kawasan Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Amaran waspada turut melibatkan beberapa negeri lain termasuk Perlis, Kelantan dan Terengganu sehingga Ahad.

Hujan lebat tanpa henti sejak pagi Jumaat lalu menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang pada Ahad dilanda banjir dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara dan sejumlah pengguna jalan raya terkandas di dalam kereta berikutan laluan ke rumah mereka ditenggelami air.

Selain Lembah Klang, beberapa negeri lain terutama pantai timur Semenanjung turut terjejas dalam banjir musim tengkujuh kali ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: