Bayangan Panglima Awang

Panglima Awang karya Harun Aminurrashid diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1983.
Panglima Awang karya Harun Aminurrashid diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1983.
A
A
A

ENRIGUE De Malacca atau Panglima Awang dikatakan manusia pertama mengelilingi dunia.

Bayangan kehandalan beliau sebagai tokoh pelayaran berbangsa Melayu ini acap kali dibukukan dan fakta berunsur fiksyen terangkum dalam lima buah novel Malaysia. Kelima-lima buah novel berbahasa Melayu itu ialah Panglima Awang karya Harun Aminurrashid (1983: Dewan Bahasa dan Pustaka, 201 halaman), Enrique Mengundang Jauh oleh HM Tuah Iskandar (2003: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 467 halaman), Aku Penyudah Tugas Kpt. F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah tulisan Zain alJohan (2012: Pekan Ilmu, 239 halaman), Panglima Awang Penguasa Lima Lautan karangan Rosli Mohd Sah (2014:Yamani Angle Sdn Bhd 693 halaman) dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia ciptaan Kamaludin Abdul Settar (2016: DBP, 217 halaman).

Fakta yang dikemukakan dalam novel-novel tersebut hampir keseluruhannya bersumberkan naskhah Eropah seperti Magellan’s Voyage: A Narrative Account of the First Circumnavigation tulisan Antonio Pigafetta; Portuguese Documents on Malacca oleh MJ Pintado; dan The World Book Encyclopedia Volume 13 (1996).

Enrique De Malacca atau Panglima Awang mula belayar menyertai pasukan lima buah kapal; Conception, Trinidad, Victoria, Santiago dan San Antanio dari Sepanyol yang diketuai oleh Ferdinand d’ Magellan dalam ekspedisi Armada Maluku. Meskipun ekspedisi tersebut menerima kecelakaan di Cebu, Filipina dengan terbunuhnya Ferdinand Magellean tetapi salah sebuah kapal iaitu Victoria berjaya balik ke Sepanyol dan dikatakan Panglima Awang sendiri yang mengemudikan kapal tersebut.

Hal itu tercatat dalam The World Book Encyclopedia Volume 13 yang menyebut bahawa “Victoria, di bawah perintah Espinosa, meneruskan pelayaran ke barat menuju Sepanyol, akhirnya sampai ke Sanluca de Barramade pada 6 September 1522, hampir tiga tahun selepas pelayaran itu bermula. Hanya Espinosa dan 17 lagi mangsa yang terselamat pulang dengan kapal itu.”

Siapa Espinosa? Adakah beliau Panglima Awang? Jika Espinosa ialah Panglima Awang, nyata sekali beliau manusia pertama mengelilingi dunia.

Namun begitu, terdapat satu lagi teori menyebut Panglima Awang tidak meneruskan pelayaran ke Sepanyol, sebaliknya balik ke Melaka dengan kapal lain yang tidak terlibat dalam ekspedisi Armada Maluku.

Sehingga sekarang bukti sejarah mengatakan Panglima Awang sebagai manusia pertama mengelilingi dunia masih samar-samar.

Artikel Berkaitan:

Antonio Pigafetta seorang jurutulis dalam rombongan Armada Maluku tidak memberikan gambaran tepat tentang peranan Panglima Awang, selain menyatakan dia sebagai pembantu kepada Magellan.

Dalam novel Conquerors (Roge Crowley:2015), Enrique de Malacca digambarkan sebagai seorang hamba dari Sumatera yang telah dibaptis lalu dikenali dengan nama Henrique, berperanan sebagai penterjemah kepada Magellan.

Namun demikian, tiga buah novel Melayu; Panglima Awang (Harun Aminurrashid), Enrique Mengundang Jauh (HM Tuah Iskandar) dan Aku Penyudah Tugas Kpt. F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah (Zain alJohan) Awang Kembara Mengelilingi Dunia (Kamaludin Abdul Settar) kecuali Panglima Awang Penguasa Lima Lautan (Rosli Mohd Sah) telah mengesahkan bahawa Panglima Awang manusia pertama mengelilingi dunia, bukan Ferdinand d’ Magellan seperti yang tertulis dalam buku-buku sejarah dunia.

Justeru masing-masing novelis menggarap justifikasi kesimpulan yang berbeza dalam proses melengkapkan pusingan pelayaran Panglima Awang sebagai telah mengelilingi dunia. Harun Aminurrashid misalnya telah menggambarkan Panglima Awang menyelesaikan pusingan pelayaran kerana kembali ke Melaka dari Cebu, Filipina dan menemui tunangnya, Tun Gayah.

HM Tuah Iskandar menyatakan Panglima Awang balik ke Sepanyol dan berkahwin dengan Miriam, adik Ferdinand d’ Magellan serta membuka penempatan baru bernama Malaga berhampiran Lisbon, manakala Zain alJohan turut memberikan kesimpulan kreatif dengan menyatakan bahawa Panglima Awang yang mendapat kecederaan parah semasa pertempuran di Cebu itu telah menerima rawatan istimewa daripada tunangnya, Gayah dan kemudian balik ke Tanah Melayu seterusnya ke Sumatera, negeri asal Panglima Awang.

Novel adalah karya kreatif yang memiliki lesen imaginasi seperti laut yang tidak bertepi; melebar dan luas sebagaimana kehendak pengarangannya.

Pengarang kalau mahu, boleh memaparkan kesimpulan kreatif dengan tidak menuruti fakta, melencongkan karangannya daripada kronologi sejarah mahupun menambah peristiwa bagi mencantikkan garapan kreatifnya.

Fakta-fakta relevansi terhadap sejarah realiti yang telah diharungi Panglima Awang bagi menggambarkan ketokohan beliau sebagai ahli pelayaran Melayu yang tersohor di dunia sekalipun agak sukar meletakkan beliau sebagai manusia pertama mengelilingi dunia lantaran kekurangan fakta sejarah yang bersandarkan bukti sahih.

Dari segi nama protagonis, pelbagai nama dan gelaran dicipta. Antaranya 'Awang’ bagi novel Panglima Awang Penguasa Lima Lautan dan Awang Kembara Mengelilingi Dunia, Panglima Awang (Panglima Awang), Ariberto (Enrique Mengundang Jauh), Datuk Laut Dalam (Aku Penyudah Tugas Kpt.F.Magellan dan Laksamana Hang Tuah). Manakala nama protagonis di luar novel seperti Henry The Black, Enrique de Malacca, Henrich (dalam tulisan Antonio Pigafetta) dan Espinosa.

Inti pati kisah protagonis dalam Panglima Awang Penguasa Lima Lautan melakarkan Awang anak murid Tok Beguk (tangkas bermain senjata berusia 18 tahun). Awang dan Andak rakan kembar. Awang mempunyai adik perempuan bernama Melati dan Andak menaruh hati kepadanya. Awang dikatakan berasal dari Kampar, Sumatera memanggil Ferdinand Magellan dengan nama Fernan.

Novel Aku Penyudah Tugas Kapten Ferdinand Magellan dan Laksamana Hang Tuah antara lain mengisahkan tiga buah kapal dari Sepanyol mendarat di pulau Mazzava Cebu, Filipina 7 April 1521 – Trinidad, Conception dan Victoria. Trinidad (Kapten Joao de Lopez Carvalho) dan Victoria ( Kapten Sebastian del Cano) berjaya melepaskan diri, balik ke Sepanyol. Kapal Conception (Kapten Ferdinand Magellan) tersadai di Cebu.

Novel Enrique Mengundang Jauh merakamkan Enrique manusia pertama mengelilingi dunia pernah menetap di Portugal dan kemudian di Sepanyol dan berkahwin dengan Miriam, adik Ferdinand d’ Magellan. Enrique ialah Panglima Awang yang mengikut Ferdinand d’ Magellan mengelilingi dunia adalah seorang Melayu yang hidup pada zaman kejatuhan Melaka.

Harun Aminurrashid yang pertama kali mencetus kisah Panglima Awang melukiskan bahawa protagonis dikatakan datang dari Palembang, menjadi budak suruhan Laksamana Melaka dan diajar ilmu pelayaran. Panglima Awang ditawan oleh Alfonso d’ Albuquerque.

Novel Panglima Awang dan Aku Penyudah Tugas Kpt Ferdinand Magellan dan Laksamana Hang Tuah tepu dengan fakta berkaitan Panglima Awang sebab kedua-dua novel ini menghuraikan kronologi kehidupan Panglima Awang dari Melaka – Eropah – Tanah Melayu sebaliknya Enrique Mengundang Jauh berkisar protaganis berusaha mencari legasi Panglima Awang di Eropah terutama di Sepanyol yang dikatakan terdapat sebuah petempatan bernama Malaga telah dibuka oleh Panglima Awang.

Kelima-lima novel yang digarap berasaskan kisah Panglima Awang dari perspektif pelbagai sudut yang meletakkan unsur patriotisme sebagai landasan berkarya. Kesahihan fakta tidak sangat diambil kira sebaliknya kisah Panglima Awang digambarkan sebagai legasi alam Melayu yang perlu didedahkan dan wajar menerima perhatian berbagai pihak khususnya bangsa Melayu di Nusantara.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)